Blog Esklusif Perkongsian Ilmu, Pencetus Idea & Sumber Motivasi
RSS icon Email icon Home icon
  • Korban Era Moden

    Posted on November 27th, 2009 ina_kl No comments

    Salam w.b.t, selamat petang…

    Hari ini Hari Raya AidilAdha, selamat menyambut hari korban pada semua umat islam. Perut ini masih terasa kenyang dek ketupat, rendang, lontong, ayam masak merah yang menjadi santapan kami sekeluarga….sungguh sedap tak terkata :) . Bagi kita, hari raya  AidilAdha seolah-olah sama macam hari raya Aidilfitri….makan sedap dan cuti (horehhh……). Kita agak kurang menghayati erti korban yang sebenar.

    Alhamdulillah….tahun ini kami anak beranak berkesempatan untuk melaksanakan ibadah korban. Nak melakukan korban sekarang agak senang….kita sediakan bayaran kepada masjid dan pihak masjid akan uruskan semua. Sebaiknya kita hadir dan terbabit sama dalam proses penyembelihan itu….lebih afdhal. Saya cuma agak tertarik untuk memperkatakan tentang konsep korban yang lain dari ibadah korban yang biasa dibuat khusus semasa AidilAdha. Korban dalam ertikata kehidupan kita yang sebenar.

    Ibadah korban sebenarnya bukanlah setakat ibadah khusus menyembelih binatang tetapi memerlukan kita menghayati dan melaksanakan ibadah korban dalam kehidupan kita seharian. Manusia sekarang sangat kurang ‘berkorban’. Isteri tidak mahu berkorban untuk suami, suami tidak sanggup berkorban dan lebih mahu mempertahankan ego, anak-anak tak sanggup berkorban untuk makbapak dan lebih rela jadi si tanggang moden, ibu mertua tidak sanggup berkorban demi anak menantu, jiran yang tidak sanggup berkorban untuk menjaga hati jiran sebelah, bos yang tak mau berkorban masa serta perhatian untuk memahami keperluan staf dan sebagainya. Manusia sekarang lebih mengutamakan ego, status dan material atau duniawi semata-mata untuk menjadi lebih baik dari orang lain dalam kehidupan dunia yang fana ini. Walhal jika kita bersedia berkorban sedikit wang ringgit, perasaan, mengorbankan ego, beralah dan lebih mengutamakan hati orang lain, kita sendiri akan memperolehi ganjaran pahala dari Allah S.W.T malah Allah akan meninggikan darjat iman kita kepada-Nya.

    Kita tidak sedar pahala atau ganjaran yang sangat hebat yang Allah sediakan untuk orang yang mahu melakukan pengorbanan untuk orang lain. Oleh kerana sangat hebat dan besar ganjaran yang Allah mahu berikan kepada hambanya maka Allah mewajibkan kita mengeluarkan zakat kerana zakat itu menuntut suatu pengorbanan. Jika zakat itu tidak diwajibkan atau hanya disunatkan nescaya hamba-hamba-Nya akan  sedikit memperolehi nikmat pengorbanan dari ibadah zakat ini. Maha Pengasih Tuhan yang memerintah sekalian Alam…..kita sedia maklum berkat dan faedah yang diperolehi dari ibadah zakat. Bagi yang mengeluarkan zakat, ia menyucikan harta kita, zakat itu tidak meluakkan harta kita sebaliknya Allah akan melipatgandakan harta itu untuk kita dengan barakahNya. Bagi yang menerima zakat seperti golongan miskin, dapatlah wang zakat itu diguna untuk menampung keperluan mereka seadanya.

    Inilah kupasan saya tentang korban era moden. Bukan hanya pada ibadah korban khusus (menyembelih binatang) tetapi korban wang, hati, jiwa dan perasaan yang sangat dituntut dalam zaman ini. Tak ramai yang sanggup melakukan pengorbanan yang ini. Masing-masing mementingkan ego, pangkat dan kedudukan masing-masing. Yang kaya mahu lagi kaya. Yang sudah berpangkat mahu lebih pangkat.

    Selamat !

    Wassalam.

MyBlogLog
Add to Technorati Favorites