-
Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
Posted on January 18th, 2009 1 commentSangat sedikit informasi tentang beliau yang boleh diperolehi memandangkan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary (“Tan Sri”) adalah seorang yang begitu ‘low profile’. Sehinggalah baru-baru ini saya terbaca sebuah artikel di akhbar The Edge bertarikh 12 Jan 2009. Laporan akhbar itu begitu menyeluruh (kalau tak silap 3 mukasurat) dan memfokus kepada jatuh bangun Tan Sri dalam dunia perniagaan.
Dunia perniagaan Tan Sri bermula apabila dalam usia remaja beliau telah menolong bapanya menjual kambing dikampungnya di Kampung Hutan Keriang (sekarang dikenali Jalan Sultanah), Kota Setar, Kedah.
Dalam tahun 1970an, Tan Sri mula menjual daging dan dari situ beliau menjinakkan diri dalam industri pengangkutan, dengan hanya 4 permit lori sebagai permulaan.
Seorang yang merendah diri dan pandai bergaul, beliau mula menjalinkan hubungan perniagaan dengan ramai pihak malah ramai di antara mereka yang menjadi tokoh penting seperti Datuk Seri Syed Razak Syed Zain (bekas menteri besar Kedah) yang dikenalinya semasa menjalankan perniagaan menjual daging. Melalui kontrak mengangkut beras pula untuk Mara Pernas Edar dan Sergam Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat Johor SEDC, Tan Sri mula mengenali Tan Sri Muhyiddin Yassin (“TSMY”) yang kini menteri besar Johor. Hubungan mereka begitu akrab hingga ke saat ini sehingga ramai pihak yang mengganggap kejayaan Tan Sri dalam mendapatkan kontrak perniagaan dan urusniaga terutamanya di Johor adalah disebabkan hubungan baiknya dengan TSMY.
Dengan hanya bermula sebagai pembekal perkhidmatan mengangkut beras, Tan Sri telah berjaya mengambilalih kepentingan Bernas dan bertitiktolak dari situ beliau mula melangkah jauh dengan terbabit dalam industri pembuatan, pembinaan, janakuasa dan yang terbaru dalam industri perbankan, dan sebagainya.
Empayar Tan Sri mula menyinar bermula awal 1997. Tan Sri pada mulanya tidak berapa disenangi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad (pada ketika itu perdana menteri) kerana keakraban beliau dengan TSMY oleh sebab pada masa itu TSMY adalah sekutu kuat Anwar Ibrahim dalam pilihanraya UMNO 1993. Bagaimanapun setelah perjumpaan 2 jam antara Tan Sri dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan rancangan Tan Sri membina dan membangunkan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor, segala-galanya berubah apabila Tun Dr Mahathir Mohamad benar-benar yakin dengan kebolehan dan wawasan beliau dan telah meluluskan projek mega Pelabuhan Tanjung Pelepas. Seterusnya Tan Sri semakin tersohor dan dianggap tokoh korporat bumiputera yang paling berpengaruh terutama apabila Tun Daim Zainuddin meninggalkan kabinet pada 2002.
Akhirnya sebaik sebelum Tun Dr Mahathir melepaskan jawatan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada penghujung 2003, Tun Dr Mahathir sempat menghadiahkan konsesi projek pembinaan landasan keretapi letrik berkembar berharga RM14 Billion menghubungkan Ipoh dengan Padang Besar kepada Tan Sri melalui syarikat milik Tan Sri iaitu MMC Corporation Berhad dengan usahama Gamuda Berhad.
Tan Sri mungkin tidak terbabit secara langsung dalam arena politik tetapi beliau merupakan kawan baik UMNO. Masa depan perniagaan beliau juga dijangka ‘selamat’ memandangkan beliau juga memiliki DRB Hicom yang mempunyai kilang pemasangan kenderaannya di Pekan, Pahang yang merupakan kawasan Datuk Seri Najib Tun Razak. Tan Sri juga telah banyak berhubungan dengan Najib sebelum ini memandangkan DRB Hicom mempunyai unit yang mengeluar dan membekalkan peralatan keselamatan iaitu DRB Hicom’s Defence Technologies Sdn Bhd semasa Najib menjadi menteri pertahanan.
Itulah sedikit sebanyak yang saya boleh rumuskan. Saya amat mengagumi Tan Sri kerana beliau adalah wakil tokoh korporat melayu yang berjaya walaupun beliau tidak pernah melanjutkan pelajaran ke universiti. Beliau banyak membuat kebajikan terutama kepada pertubuhan kebajikan dan anak-anak yatim dan miskin melalui yayasan yang ditubuhkannya, Yayasan Al-Bukhary. Melalui syarikat yang beliau tubuhkan juga, beribu-ribu peluang pekerjaan telah wujud. Tetapi beliau tidak pernah membangga diri malah beliau banyak berselindung disebalik ‘proksi-proksi’ beliau.
Diharap ramailah lagi anak-anak bangsa kita yang boleh jadi seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. Selamat !
One response to “Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary”
-
usaha tangga kejayaan
Leave a reply
-




















Recent Comments