-
Mengasingkan Emosi Negatif
Posted on September 1st, 2009 No commentsSalam w.b.t, salam sejahtera,
Sejak beberapa hari lepas, saya berdepan dengan bermacam-macam kejadian yang ‘menganggu’ emosi saya. Hee…macam-macamlah, malas nak sebut. Cuma saya berfikir, alangkah bagusnya kalau kita betul-betul boleh mengasingkan dan meletakkan kesemua emosi-emosi yang negatif itu ketepi.
Ya, apakah maksud ‘mengasingkan emosi’ atau in English, put the emotions aside….. ? Yang ni pada saya satu perkara yang senang cakap, tapi paling susah nak buat terutama bagi kaum hawa yang memang terkenal seantero dunia insan yang penuh beremosi.
Anda pernah dengar tak Prinsip 90/10 yang diilhamkan Steven Covey ? Yang mengatakan 90% daripada apa yang berlaku dalam hidup kita adalah berdasarkan reaksi dan kawalan kita kita sendiri samada secara rasional atau tidak, manakala hanya 10% perkara yang berlaku dalam hidup kita adalah berdasarkan perkara luar kawalan kita. Pada pendapat saya, prinsip ini sangat praktikal dan menepati ciri qada’ dan qadar dalam Islam. Ia menuntut kita berdoa dan bertawakkal kepada Tuhan selain dari berusaha mengurus kehidupan seharian sebaik mungkin.
Tapi yang sebenar-benarnya yang banyak ‘mengganggu’ kita dalam tindak tanduk kita seharian adalah tidak lain dan tidak bukan….emosi kita sendiri. Contoh-contoh emosi memang banyak, anda sendiri boleh buatkan senarai untuk saya :) …. ada yang positif dan ada yang negatif, yang negatif adalah seperti emosi sedih berpanjangan dan melampau, marah meluap-luap, marah melenting, geram, kecewa, benci, risau, bimbang, gabra dan sebagainya.
Jadi bila kita hendak berfikir dan mengambil tindakan secara waras, perkara pertama yang perlu kita lakukan adalah dengan ‘mengeluarkan’ emosi negatif kita itu, atau campak jauh-jauh emosi negatif kita tu dulu…barulah kita boleh berfikir secara rasional dan tenang. Bagi diri saya dan kebanyakan orang juga, yang nak ‘mengeluarkan’ emosi negatif dan campak jauh-jauh itulah yang susah. Tapi yang ni kena selalu latih diri sendiri dan mesti kena banyak sabar. Bila dah boleh buat yang ini, insyaAllah hidup kita akan lebih berjaya dan bermakna. Kawan-kawan pun ramai, rezeki pun bertambah…malah aura wajah dan diri kita pun semakin memancar-mancar berseri-seri. Tak payah nak susah-susah beli aura seri atau pergi ke spa mahal-mahal.
Bagi diri saya hamba yang kerdil ini, bila marah atau geram, saya akan tarik nafas dalam-dalam dan buat-buat sibuk…untuk lupakan benda yang mendatangkan marah tu. Kalau tak hilang jugak, bawak sembahyang atau tido, atau nak cepat….share dengan rakan terdekat untuk hilangkan tension. Bila rasa-rasa dah boleh nak berfikir secara lebih waras, barulah saya mengambil tindakan yang bersesuaian dan pada masa yang sesuai. Susun strategi dulu, skrip drama mana-mana yang patut dan target tempat dan masa yang sesuai untuk bertindak. Menarik kan !
Selamat !
-
Susah Senang Menjernihkan Hati
Posted on June 25th, 2009 3 commentsSalam dan selamat sejahtera,
Entah kenapa hati saya semacam geram dan tidak puas hati, rasa nak buat satu surat aduan kepada pihak kerajaan kenapa perkara semacam ini mesti terjadi…
Saya baru je diberitahu oleh suami yang dia akan berkursus selama satu minggu di Genting Highlands.
“Satu minggu ?! Lamanya ! Bila nak kena pergi ?”.
“Hari Ahad ni..pagi nak bertolak”.
“Ahad ? Sepatutnya hari Sabtu dan Ahad kena spend time dengan keluarga. Drive sendiri atau ada pengangkutan disediakan?”.
“Drive sendiri…”
Tiba-tiba rasa bengang yang meluap-luap datang (tambah-tambah pulak masa dapat berita saya baru pulang dari kerja dan menempuh traffic jam yang begitu mencabar). Ishh…bengang, bengang.
Sebenarnya saya terkilan kenapa kakitangan kerajaan harus pergi berkursus jauh-jauh dan mengambil masa 4, 5 dan sampai seminggu….saya yang kerja swasta tak pulak sibuk-sibuk nak berkursus jauh-jauh, paling jauh pun nun kat Bangi, dan paling lama pun 3 hari.
Akhirnya selepas berfikir masak-masak…tak guna saya nak marah. Kalau nak marah pada suami, apa pilihan yang dia ada. Memang anak-anak selalu demam bilamana suami saya outstation dan itulah yang meresahkan saya…tapi apa pilihan yang saya ada ?
Maka saya fikir, apa yang saya harus lakukan adalah menjernihkan hati sendiri. Bagi diri saya sendiri yang cepat melenting, ini adalah ujian dariNya. Berperang dan cuba memotivasikan diri, menahan diri dan bersabar….itulah sebahagian dari ujian. Mungkin juga ada perkataan yang terlepas ketika marah dan mungkin saya dah melukakan hati suami saya….ntahlah, tiba-tiba saya rasa bersalah pulak. Terasa rugi pula bila terlalu mengikut emosi.
InsyaAllah…lepas ni saya tak naklah marah lagi…nak mesra dengan suami semula macam biasa. Daripada marah, baiklah tenaga marah tu ditukar kepada tenaga kinetik yang boleh mendorong saya membuat kerja berfaedah…kan. Yang penting, saya doakan suami pergi dan pulang dengan selamat dan dapat menimba pengetahuan sebaik mungkin dari kursus tersebut. Amin.
Selamat !
-
Senyuman Itu Senjata
Posted on May 8th, 2009 1 commentSalam dan selamat sejahtera,
Dah lama saya tak buat posting… terpaksa pulun mengadap exam, rasa serik sebab study last minute. Masa zaman muda-muda dulu waktu di universiti memanglah boleh nak pulun last minute tapi rupa-rupanya bila jadi part-time student ni keadaannya tak sama. Manakan tidak, dulu belum bersuami, belum beranak pinak, belum berkerjaya, belum ada komitmen lain-lain. Sekarang dah lain.
Sebenarnya saya ingin menulis tentang senyum, bukan pasal study last minute
. Senyum ini satu perkara mudah sebenarnya…tapi tak semudah yang kita sangkakan. Tapi kalau kita bijak mengaplikasikan senyum dalam aktiviti seharian kita, itu sudah menguntungkan.Senyum ni pulak boleh jadi ‘auto reflection’ atau ’self-reflection’. Iyelah…kalau ada perkara yang menggelikan hati, secara automatik kita akan tersenyum dan ketawa. Ada juga senyum yang dipaksa-paksa, senyum kambing, senyum tawar dan sebagainya.
Dalam Islam, senyum itu ibarat sedekah. Senyum juga boleh mengubat hati yang marah, hati yang kecewa, risau, sedih, geram. Kalau dengan pasangan, kita mesti selalu senyum agar bukan saja pasangan kita senang tengok kita, malah secara tak langsung ia membuat hati kita juga senang dan tenang.
Rakan-rakan dan adik-adik sekelian, cuba lakukan eksperimen ini : bila frust, sedih, geram, marraahhhh….cuba tarik nafas dalam-dalam dan hembus dengan membayangkan emosi itu keluar bersama hembusan tadi…dan pejam mata sambil beristighfar dan berselawat atas nabi (fokuskan fikiran). Buat dengan hati yang ikhlas dan bulatkan hati serta menyerahkan segala-segalanya pada Allah kerana Dia yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Kemudian, sennyuuuummmmm dan sennnyuuuuummmm. dan senyyuuuummm…. Insyaallah akan ada kesannya. Kalau memang kita yang bersalah, dengan lapang hati segeralah meminta maaf, insyaallah bila muka kita ‘berseri’ dengan senyuman yang ikhlas, orang yang marah akan lekas sejuk malah dia akan menyesal memarahi kita…kalau dalam berurusniaga bila kita sentiasa senyum dengan ikhlas maka bertambah murahlah rezeki dek senyuman ikhlas kita itu.
Senyum juga baik untuk senaman muka,kan. Ada orang kata senyum tu petua untuk awet muda. Jadi apa kita tunggu lagi…berusahalah untuk sentiasa senyum dan berikan senyuman yang ikhlas untuk orang yang di sekeliling kita. Mudah-mudahan ada ganjaran pahala yang tersedia untuk kita selain ganjaran di dunia. Selamat !
-
Nikmat Yang Bukan Percuma
Posted on March 3rd, 2009 No commentsSalam w.b.t, salam sejahtera,
Hmmm…ada 2 jenis nikmat, satu percuma, dan yang lain berbayar. Setuju ?
Macam ada unsur ‘kenakalan’ dalam tajuk di atas tu. Ini bukan posting berkenaan nikmat di bilik tidur ke, atau di bilik air ke…saya nak memperkatakan nikmat secara umum. Kalau nak baca cerita nikmat yang lebih mengkhusus, kenalah pergi ke blog lain…hee
Nimat yang kena bayar..hmmm, biasalah macam-macam ada, nak makan sedap kena bayar, nak parking kereta di tempat yang selesa kena bayar, nak melepaskan hajat kecil dan besar pun kena bayar. Hatta nak kahwin pun kena bayar ! Bayar mas kawin…..
Tapi ada banyak nikmat lain yang percuma..contohnya udara yang kita hirup, kesihatan yang ada pada kita di saat ini, anggota badan dapat berfungsi dengan baik (maka dapatlah kita bekerja mencari rezeki sesuap nasi), nikmat sampai ke tempat kerja tanpa menghadapi apa-apa kemalangan….. itu semua adalah nikmat yang kita tidak perlu bayar, malah kita cam tak sedar nikmat itu diberi pada kita. Pernah tak kita beratur panjang di hospital awam dan menunggu lama untuk bertemu doktor dan kita merungut-rungut dan menyumpah hospital kerajaan tidak efisien ? Pernah tak kita tiba di tempat kerja dengan selamat tapi hati kita panas dan menyumpah-nyumpah penunggang motorsikal yang kita hampir langgar ?
Bayangkan jika nikmat yang percuma ini tidak lagi diberi… hmmm memang saya sendiri tak dapat bayangkan. Rasanya saya tak kuat untuk hidup kalau nikmat-nikmat percuma ini ditarik.
Jadi di kesempatan waktu yang terluang ini dan sebagai peringatan untuk diri sendiri serta perkongsian untuk anda yang membaca, marilah kita sentiasa bersyukur dengan nikmat-nikmat ‘free’ yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. Dan yang pasti..nikmat yang ‘free’ ini sebenarnya bukan ‘free’, ada tanggungjawab dan amanah yang disertakan. Dengan kesihatan yang baik dan kita tiba di tempat kerja dengan selamatnya, maka bekerjalah dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas. Jangan layan sangat emosi kita….tumpukan pada ’substance’ atau perkara yang diusahakan.
Mudah-mudahan hidup kita hari ini dan seterusnya lebih barakah. Amin.
Selamat !
-
Menilai Harga Suatu Masa
Posted on February 5th, 2009 4 commentsSalam semua !
Sejak kebelakangan ini saya begitu sibuk terutama bila saya dah mula menghadiri kuliah dan kelas tutorial . Memang mencabar bila terpaksa nak membahagikan masa dengan kerjaya, keluarga (suami dan anak-anak)..dan sekarang pelajaran pulak.
Tadi saya mengikuti kelas tutorial dan pensyarah ada membincangkan tentang masa. Selama ini saya menyangka hanya saya sorang saja yang ada keinginan untuk membeli masa..rupa-rupanya ramai juga yang ada keinginan yang sama. Saya juga pernah post artikel bertajuk ‘Andainya Masa Dapat Kubeli’ beberapa bulan yang lepas.
Apa yang saya ingin kongsi di sini ialah apa yang pensyarah tadi perkatakan.
Kenapa kita rasa macam masa tidak pernah cukup buat kita ?
Adakah kita mempunyai kuasa yang sepenuhnya untuk mengawal dan menggunakan waktu itu seperti yang kita kehendaki ?
Akhirnya, saya mendapat jawapan…
Untuk mendapat masa yang sentiasa cukup…. masa yang kita ada itu perlulah berkat. Sebagaimana kita memastikan rezeki kita adalah berkat, datang dari sumber yang berkat, begitulah masa yang kita ada. Masa yang hanya 24 jam sehari itu adalah harta yang paling berharga buat kita semua sebenarnya.
Kengkadang…hmmm bukan kengkadang tapi selalu sangat saya hangin satu badan bila orang potong queue bila pandu kereta, motorsikal mencilok sesuka hati, mesin potostat kat pejabat buat hal, hingga saya merungut-rungut kenapa banyak masa yang terbuang bila kena mengharung jem trafik, nak membetulkan mesin potostat dan lain-lain. Saya rasa selama ini saya silap kerana hanya memandang kepada masa yang ‘terbuang’ tetapi saya terlupa untuk menjadikan masa yang terpakai (bukan lagi terbuang
) itu sesuatu yang berkat. Caranya mudah saja : nawaitu kita dan kesedaran kita adalah, apa yang dilakukan adalah kerana Allah Taala…bukan sebab nak kejar punchcard, bukan nak kejar deadline dan lain-lain. Hati akan pasti lebih tenang dan setiap saat apabila kita mengenang Allah maka Allah akan memberikan ganjaran pahala buat kita. Bukankah setiap saat dalam hidup ini adalah untuk beribadah kepada Allah ?Pada pengamatan saya, trend masakini ialah umat islam lebih cenderung melihat kebendaan. Apabila masa juga dianggap sesuatu yang berharga dari sudut materialistik, maka 24 jam sehari yang kita ada memang akan tak pernah cukup.
Sebagai insan yang penuh kekurangan, banyak kesilapan yang saya lakukan dan banyak masa yang saya miliki dulu terbuang begitu saja. Saya harap rakan-rakan, adik-adik seperjuangan sekalian dapat menfaat sedikit sebanyak dari perkongsian ini dan masih belum terlambat untuk kita berubah demi kebaikan. Selamat !
-
Andainya Masa Dapatku Beli
Posted on December 16th, 2008 No commentsSuatu fakta yang termaktub sejak azali…satu hari di bumi bersamaan 24 jam. Jadi bagi kita makhluk-Nya dikurniakan masa 24 jam satu hari sama rata.
Pernahkah kita terfikir bagaimana hidup seseorang itu berbeza, ada yang kaya raya, ada yang sihat bahagia, pada masa yang sama ada yang miskin dan hidup menderita; ramai yang hidup menjadi perosak masyarakat dan ada juga yang hidup berbakti pada komuniti…
Sebenarnya akal dan hatilah yang membezakan kita dalam mengorak langkah dalam hidup ini. Apa kaitannya dengan masa ?
Saya bukanlah pakar motivasi yang layak bercakap tentang pengurusan masa tetapi melalui pengalaman yang telah dilalui, rasanya bolehlah saya rumuskan beberapa perkara disini untuk dikongsikan dengan adik-adik dan rakan-rakan seperjuangan sekalian :-
- Mengurus masa memang agak sukar terutama jika kita terikat dengan komitmen lain, tetapi yang penting kita sentiasa berusaha memperbaiki diri kita;
- Walau sehebat manapun kita dalam mengoptimumkan penggunaan masa, sekali sekala minda dan badan kita perlukan rehat, jadi tak salah kalau sekali sekala kita menonton tv atau wayang, berbual, melayari internet, tidur dan sebagainya, asalkan jangan berlebihan;
- Rancang dan peruntukkan masa yang sesuai untuk setiap kegiatan seharian. Yang penting, jangan lupa untuk peruntukkan masa untuk melakukan ibadah sembahyang lima waktu dan sebagainya (redha Allah itu penting);
- Kita bukanlah manusia yang sempurna dan hidup kita saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Sebab tu kalau kita dapat bonus atau ‘masyuk’ lebih sikit kenalah belanja atau belikan hadiah untuk mak ayah kita, adik beradik kita, kawan-kawan sepejabat kita…..SEBAB APA ?
Kerana dalam menguruskan masa dan melaksanakan peranan kita seharian, suka atau tidak kita perlu juga mengagihkan sedikit daripada kesemua tugas-tugas kita atau dalam bahasa inggerisnya ‘delegate’ tugas-tugas kita itu . Kita kena perihatin juga limitasi dan tahap keupayaan diri kita sebab kita bukan ‘superman’ atau ‘superwoman’. Contohnya kalau hari ini kita tidak sihat, kita terpaksalah minta anak sulung kita basuhkan kain, atau minta adik kita hantarkan anak-anak kita ke sekolah; atau suami minta isteri bayarkan bil dan picit-picitkan badan ke. Jadi kata kuncinya di sini, jangan lupa ‘delegate’ sebahagian dari tugas-tugas kita itu;
- Dari sudut kerohanian, kita perlulah banyak bersedekah dan keluarkan zakat. SEBAB APA ? Sebab memang dah tertulis di dalam Al-Quran bahawa rezeki yang kita perolehi bukanlah 100% milik kita, sebahagiannya adalah milik atau hak orang lain. “Hai, aku yang teruk-teruk kerja pasal apa nak share pulak dengan orang lain ?” Isyhh… jangan persoalkan tentang kenapa kita perlu bersedekah dan keluarkan zakat, bukankah ini perkara asas dalam rukun islam ? Apabila kita bersedekah Allah akan memberikan kelapangan 10 kali ganda kepada kita (dari ucapan Dato’ Dr Fadhilah Kamsah di Rancangan Motivasi Pagi di TV3 pada 13/10/2008 yang lalu) seta memberikan rezeki berlipat ganda buat kita. Jadi, apa tunggu lagi, banyakkan bersedekah dan jangan lupa keluarkan zakat !
Jadi… amacam ? Diharap perkongsian di atas sedikit sebanyak dapat memberi menfaat kepada anda !






















Recent Comments