-
Polisi Insurans Untuk Pembantu Rumah
Posted on August 16th, 2009 3 commentsSalam…
Dah lama saya tak menulis di sini….tempoh hari saya ada buat sedikit posting, tapi disebabkan masalah server maka posting pun hilang
.Kali ini saya ingin memperkatakan tentang polisi insurans untuk pembantu rumah. Ya, sejak saya mengambil pembantu rumah baru Januari lalu, saya dah lama mencari-cari polisi yang sesuai. Tidak banyak syarikat insurans yang ada polisi untuk pekerja asing sebegini. Entahlah, saya pun tak abis scout around…cuma baru-baru ini saya ada terbaca tentang satu polisi insurans baru yang agak menarik perhatian saya : POS - Perlindungan Pembantu Rumah. Ya, seperti yang saya cari-cari selama ni !
Saya pun dengan pantas mencari seberapa banyak maklumat tentang skim polisi ini. Saya sempat singgah ke pejabat pos untuk mendapatkan brochure.
Skim Pos- Perlindungan Pembantu Rumah adalah satu bentuk usahasama antara POS Malaysia dengan RHB Insurance Berhad. Permohonan boleh dibuat di mana-mana pejabat pos berhampiran bermula dari 15 Ogos 2009.
Maaflah yea…pemandangan agak kabur sedikit…almaklumlah tak berapa pandai dan tak cukup tools. Secara umumnya ada 4 pelan iaitu Pelan A, B, C dan D yang hanya dibezakan oleh amaun faedah kematian kemalangan atau ketidakupayaan kekal. Terdapat 7 jenis faedah yang bakal diterima dibawah keempat-empat pelan yang disebutkan. Mari kita ambil contoh Pelan A, pelan yang termurah iaitu premium RM60 untuk tempoh perlindungan 12 bulan dan RM85 untuk tempoh perlindungan 24 bulan.
Faedah kemalangan/ ketidakupayaan kekal : RM10,000
Perbelanjaan perubatan (akibat kemalangan) : RM750
Perbelanjaan pembedahan dan hospital (akibat kemalangan) : sehingga RM2,000
Manfaat hospital tunai mingguan : RM110 (maksimum RM1,100)
Manfaat penghantaran pulang : sehingga RM3,500
Liabiliti peribadi : sehingga RM2,000
Pampasan akibat pemberhentian kerja : RM250
Pada pendapat saya polisi ini amat berpatutan. Seperti Pelan A, walaupun faedah kemalangan atau keupayaan kekal hanyalah RM10,000, jumlah ini cukup untuk menampung kos penghantaran pulang jenazah ke Indonesia jika pembantu rumah meninggal akibat kemalangan (berdasarkan anggaran sahaja). Cuma saya berpendapat faedah untuk menampung kos perubatan haruslah lebih tinggi. Ini memandangkan kadar bayaran yang dikenakan ke atas warga asing sememangnya lebih tinggi di mana-mana hospital kerajaan mahupun swasta. Adalah lebih ideal jika pelanggan diberi pilihan untuk mendapatkan faedah perubatan yang lebih tinggi.
Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian apabila kita hendak memilih polisi insurans ialah kefahaman kita sendiri berkenaan apa yang dilindungi. Dalam skim insurans ini, ia lebih berbentuk insurans perlindungan kemalangan. Kebanyakan pembantu rumah kita hanya duduk di rumah dan jarang keluar bersendirian…jadi adakah kemlangan yang dimaksudkan itu hanya kemalangan jalanraya atau meliputi kemalangan domestik/ rumah seperti melecur, patah tangan/ kaki, jatuh dan sebagainya ? Perkara ini perlu diteliti, jika kita kurang berhati-hati maka kemungkinan akan timbul banyak salah faham di kemudian hari terutama apabila kita hendak membuat tuntutan. Pihak pembekal insurans akan menolak tuntutan kita jika kemalangan yang dialami tidak seperti kemalangan yang didefinasikan seperti di dalam polisi.
Lebih baik kita banyak bertanya dan minta kepastian sekarang sebelum memilih mana-mana polisi insurans…tidak dapat dinafikan kebanyakan ada segelintir agen insurans yang tidak begitu telus apabila membuat proposal. Sesetengah daripada mereka, bukan semua
hanya memikirkan untuk close the deal aja. Berbalik kepada skim yang kita bincangkan iaitu polisi usahama dengan POS Malaysia ni, kekurangannya ialah staf yang duduk di kaunter tu mungkin tidak berapa tahu sangat kalau kita nak dapatkan maklumat lebih lanjut berkenaan polisi insurans pembantu rumah ni. Jadi tak perlulah buang masa, and boleh cuba hubungi RHB Insurance Berhad sendiri di talian 03-9281 2731.Saya agak terkilan, kenapa tidak diberikan opsyen untuk perlindungan islam/ takaful untuk polisi sebegini.
Wassalam…selamat !
-
Melancong ke Sabah - Tips Untuk Merancang Bajet
Posted on June 17th, 2009 14 commentsSalam dan selamat sejahtera semuanya,
Kali ini saya ingin berkongsi pengetahuan dan sedikit pengalaman dengan anda semua. Oh ya, minggu lepas saya telah membawa keluarga bercuti ke Sabah. Hmmm…dah lama saya berhajat nak cuti-cuti mesia ke sana….akhirnya tercapai juga.
Saya pasti pada anda yang kemampuan kewangan tahap ‘ala-kadar’ macam saya, sudah tentu ada keinginan untuk melancong dan bercuti bersama keluarge tapi poket tak berapa mengizinkan. Jadi untuk ini saya ingin berkongsi beberapa tips yang saya rasa akan dapat membantu anda sedikit sebanyak dalam merealisasikan hajat untuk melancong. Bagi menerangkan tips ini saya akan mengambil contoh perancangan bajet saya sendiri apabila merancang percutian ke Sabah minggu lepas.
Yang pertama, tulis dengan jelas lokasi idaman anda itu pada kertas….sebaik-baiknya satu buku nota khas. Tulis apa agenda percutian tersebut, siapa yang anda akan bawa dan anggaran perbelanjaan (kesemuanya, bermula keluar rumah..sampailah balik semula ke rumah). Contoh seperti berikut :
Lokasi Percutian : Kota Kinabalu, Sabah (4 hari, 3 malam)
Agenda : Shopping (sourvenir,gelang pearl), melawat ke kaki gunung, snorkeling kat Pulau Manukan, etc
Anggota : 4 Dewasa, 3 kanak-kanak, seorang bayi
Anggaran kesemua kos : RM10,000.00
Bergantunglah pada anda untuk menabung dan tunggu sampai simpanan anda mencecah angka tersebut, atau bagi yang berkelayakan untuk buat pembiayaan peribadi, bolehlah buat pinjaman dengan syarat mampu untuk bayar semula. Anggaran kos ini mestilah anggaran kasar yang dibuat….sebab nanti anda akan buat bajet yang terperinci pulak.
Langkah kedua, berdasarkan agenda yang anda tulis, cuba fikirkan apa aktiviti atau ‘itinerary’ yang anda mahu. Nak senang, anda boleh lawat mana-mana website agensi perlancongan yang menawarkan pakej perlancongan ke tempat yang anda tuju beserta dengan harga pakej sekali. Contoh :
ABC Travel & Tour Sdn Bhd : Pakej Percutian 4 hari 3 malam ke Kota Kinabalu, Sabah; Price per pax RM1,252 for adult and RM952 for kid (Infant RM100), ; Itinerary : [Day 1 - pick up from airport (flight AirAsia) and check-in at hotel, shopping at Filipino market], [Day 2 - Proceed to Nabalu and Kinabalu Park, visit Kundasang market, Poring hot spring, lunch at Ranau town], [Day 3 - Proceed for island hopping, snorkelling at Manukan, Mamutik and Sapi islands] and [Day 4 - free & easy and check out and proceed to airport].
Langkah yang ketiga, apa yang saya lakukan, saya telah pilih satu pakej perlancongan yang bersesuaian dengan agenda saya (seperti contoh di atas) dan saya terus hubungi agen tersebut. Haa…yang ni sangat penting untuk perancangan bajet anda. Pada langkah ini bagi mereka yang takde masalah kewangan dan takde masa nak fikir dan sibuk, mereka akan terus suruh agen perlancongan yang uruskan segala-galanya. Bagi saya pula apa yang saya lakukan, saya minta quotation harga daripada agen untuk pakej keseluruhan (termasuk flight, penginapan, makan minum dan pengangkutan). Daripada quotation tersebut saya akan ubahsuai mengikut citarasa saya hinggalah saya dapat bajet yang sesuai dengan kemampuan/ kewangan saya. Seperkara yang penting, merancang awal adalah lebih baik sebab kita sebenarnya boleh menjimat banyak wang dari segi kos penerbangan kerana sememangnya syarikat penerbangan seperti AirAsia dan MAS memang ada menawarkan pakej-pakej diskaun kepada mereka yang menempah tiket awal.
Setelah menilai dan menimbang banyak perkara, akhirnya saya buat keputusan untuk uruskan sendiri soal penerbangan, book sendiri hotel dan uruskan makan dan minum sendiri di sana (kecuali sarapan pagi sebab disediakan oleh hotel). Memandangkan suami kakitangan kerajaan, dapatlah diskaun sket untuk hotel. Untuk tempah penerbangan pulak tak susah sebab boleh buat online semuanya. Pihak agensi perlancongan tu bagus, sangat profesional dan sanggup melayan kerenah saya yang terlalu banyak bertanya (sebab saya ni cerewet orangnya
). Akhirnya saya cuma minta agensi tersebut uruskan soal pengangkutan di sana untuk aktiviti seperti yang ada di dalam itinerary.Jadi di sini daripada harga keseluruhan asal berjumlah RM7,964 (untuk pakej keseluruhan yang disedia oleh agensi perlancongan), saya telah mendapat penjimatan sebanyak RM560 setelah membuat perubahan seperti yang saya sebutkan (kalau saya merancang lebih awal, mungkin dapat jimat lebih lagii….oleh kerana perancangan dibuat hanya dalam masa sebulan maka kos tiket penerbangan seperti yang disebut dibawah adalah agak tinggi sebenarnya). Perincian bajet selepas perubahan adalah seperti berikut :
Kos penerbangan (keseluruhan) : RM4,554
Kos penginapan : RM1,210
Charter service : RM1,000
Bot & alatan snorkeling dan entrance fees : RM340
Makan minum : RM300
Kos keseluruhan : RM7,404
[Tak termasuk shopping. Anggaran kos untuk shopping RM1,300. Maka kos (berdasarkan bajet terperinci) kesemuanya ialah RM8,704 .... masih kurang dari anggaran kasar kos sebanyak RM10,000 !!]
Walaupun mengikut pengiraan di atas saya cuma jimat RM560, tetapi kalau diikutkan saya boleh jimat lebih banyak lagi. Ini kerana mengikut quotation asal flight yang disediakan ialah AirAsia. Saya pulak oleh kerana saya bawak mak dan pembantu rumah serta anak kecik saya terpaksalah saya memilih MAS, walau pun bayar lebih sedikit tapi memang lebih selesa berbanding AirAsia. Bot untuk aktiviti island hopping pulak kami sewa satu bot khas untuk keluarga kami saja…dan bayar lebih sedikit untuk itu. Kesimpulannya walaupun saya telah memilih MAS dan bot sewaan khas yang lebih mahal…saya masih lagi jimat sebanyak RM560. Memang berbaloi !!
Jadi bolehlah saya ringkaskan di sini tips untuk merancang bajet percutian anda adalah seperti berikut :-
Langkah Satu - Rancang dengan jelas percutian anda (lokasi, agenda, bilangan peserta, anggaran kos keseluruhan)…lebih awal merancang, lebih banyak anda boleh berjimat;
Langkah Dua - Fikirkan aktiviti yang anda mahu bersesuaian dengan agenda anda;
Langkah Tiga - Bila dah ada itinerary, buat bajet terperinci. Ubah quotation asal pakej dan berurusanlah dengan agensi perlancongan yang anda selesa berurusan. Buat bajet terperinci dengan berhati-hati dengan mengambilkira setiap aktiviti yang anda akan lakukan, bertepatan dengan kehendak dan keselesaan anda.
Perkara yang paling penting yang saya belajar dari kesilapan saya ialah, pastikan setiap pertanyaan atau kemahuan anda dibuat bertulis (melalui email). Jika anda seorang yang begitu menepati masa, anda mungkin mahu agen itu pastikan van yang menjemput anda itu datang tepat pada masanya; jikalau anda mahukan tour guide (yang bukan setakat jadi driver tapi berkemampuan untuk memberi informasi untuk anda sepanjang perjalanan) …minta supaya dipenuhi kehendak anda. Jangan andaikan kesemua itu akan tersedia. Ini penting untuk mengelakkan segala salah faham yang mungkin timbul antara anda dengan agen anda.
Lagi satu yang penting, berhati-hati memilih agen perlancongan. Pilih syarikat yang kukuh, sudah lama beroperasi dan berpengalaman. Sebagai agen, perkhidmatan yang bakal diberi adalah berdasarkan amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh kita sebagai pelanggan. Jadi carilah agen yang boleh dipercayai dan jujur. Percaya pada gerak hati anda sekiranya anda tercium sesuatu yang tidak kena bila berurusan dengan agen yang ada niat nak menipu duit anda !
Itulah saja perkongsian buat kali ini. Diharap dapat membantu anda. Selamat !
-
Kerjaya di Sektor Perbankan
Posted on June 1st, 2009 16 commentsAssalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera,
Sejak kebelakangan ni saya ada terima beberapa permintaan dan soalan berkenaan kerjaya dan masa depan, semua soalan tu alhamdulillah saya dah respon kepada penghantar. Ada 2 orang dari luar negara yang meminta nasihat dari saya untuk meloloskan diri ke sektor perbankan di negara kita (maknanya nak jadi expatriate di negara ni la…).
Nampak gayanya nama Malaysia memang sudah tersohor di persada dunia perbankan terutamanya dalam perbankan islam. Ramai mereka yang di luar sana cuba meninjau potensi untuk mereka bekerja di sini. Tapi saya maklumkan pada mereka bahawasanya ia tidak semudah yang disangkakan. Ramai lepasan ijazah di sini pun tidak dapat merebut peluang pekerjaan di sektor perbankan.
Ada beberapa cara bagaimana untuk mendapat tempat bekerja di sektor perbankan di negara kita :
1. Bank-bank akan menawarkan biasiswa pelajaran dan biasanya mereka yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum akan terpilih. Setelah tamat pengajian di universiti, mereka akan terikat dengan bank selama 5 tahun sebagai syarat penerimaan biasiswa tadi;
2. Ada yang bukan pemegang biasiswa tetapi terpilih untuk menyertai ‘management trainee programme’ yang dianjurkan pihak bank. Saya rasa sekarang dah kurang management trainee program ni sebab bank-bank sekarang lebih berminat ambil pekerja muda secara kontrak sebab lebih murah dan senang. Tapi agak malang dan saya amat bersimpati pada adik-adik junior yang bekerja secara kontrak ni sebab saya lihat rata-rata mereka tidak diperbaharui kontrak selepas 11 bulan… lepas abis kontrak mereka terus hilang…. Secara peribadi saya tidak setuju dengan approach yang bank laksanakan….dan perkara ni memang saya ada nyatakan semasa ‘exit interview’ sewaktu saya melangkah keluar meninggalkan bank lama saya…
3. Ada yang bernasib baik diserap masuk sebagai pekerja tetap di bank (asalnya kerja secara kontrak). Ada yang dapat masuk sebab ada kabel atau ada sedara mara atau memang dah rezeki (ingat, rezeki di tangan Allah….yang pasti kita berusaha dan bertawakkal, insyaAllah cita-cita kita akan dimakbulkan asalkan kita tau cara untuk merealisasikan cita-cita tersebut…..sekadar selingan).
Kerjaya di dalam bank itu sendiri ada macam-macam bidang…ada pengurusan kredit, pemasaran, pengurusan tunai, dokumentasi, pengurusan risiko dan macam-macam cabang lagilah. Boleh masuk ke mana-mana website bank dan adik-adik boleh lihat jabatan-jabatan atau sub-division yang ada. Selalunya mereka yang berjaya masuk ke cabang pemasaran, pengurusan kredit atau perbendaharaan yang kerja mereka membawa masuk bisnes ke bank adalah mereka yang bakal mendapat bonus tahunan lumayan ! Ada yang sampai berbelas-belas bulan.
Pihak pengurusan bank sangat melihat kepada pengalaman dan kepakaran staf mereka dan tidak hairanlah jika tenaga pengurusan kanan di bank dibayar gaji yang lumayan (lima angka) dan di samping itu mereka mendapat berbagai-bagai bentuk kemudahan seperti tanggungan kos perubatan. pelan pemilikan kereta (mewah) dan macam-macam lagi lah (blackberry, overseas training, petrol allowance bla bla bla…)
Berminat kerja di bank ? Macam menarik kan ?! Memang menarik kalau adik-adik betul-betul berminat. Tapi cabaran yang menanti pun bukan calang-calang…. saya sendiri pun masa mula-mula kerja dulu selalu nangis dan rasa nak berhenti je sebab tak tahan, tapi sudahnya terpaksa terus kerja sebab tak mampu nak bayar balik biasiswa (terikat punya pasal). Tapi alhamdulillah sekarang saya boleh berbangga dengan kejayaan dan tahap yang saya capai sekarang walau pun tidak setinggi mana. Alhamdulillah…walau dengan tekanan kerja dan cabaran yang dilalui saya dapat menyambung pelajaran secara sambilan dan pada masa yang sama melayan keluarga dan anak-anak yang sedang membesar. Alhamdulillah….
Selamat !
-
Ibubapa Yang Bersalah
Posted on May 19th, 2009 No commentsSalam dan selamat sejahtera,
Pagi tadi bila nak bersiap-siap ke pejabat, anak-anak lelaki saya yang bersekolah dah siap dulu. Dah siap minum pagi dan pakai kasut, terus Adly minta kunci kereta dan tolong hidupkan enjn kereta. Biasanya dia berebut dengan si abang, Ahmad tapi pagi tadi Ahmad okay-okay ajer bila Adly yang dulu dapatkan kunci kereta. Lepas tu mereka berdua duduklah dalam kereta menunggu saya. Yang saya pulak ntah kenapa tembel plak rasanya hari ni……sian pulak budak-budak tu lama menunggu.
Maka kalau selalunya hati saya ‘mengkal’ pagi-pagi bila mengadap kerenah mereka berdua yang lambat, malas-malas, hangin nak pergi sekolah, pagi ni saya pulak yang rasa macam bersalah. Sebagai menunjukkan kekesalan atas kelambatan diri sendiri, saya minta maaf dengan Ahmad dan Adly. Pagi ni dapat peluk cium extra lagi…sebelum mereka melangkah keluar dari perut kereta untuk ke sekolah.
Sepanjang perjalanan memandu hingga sampai ke pejabat dan hinggalah saya menghadap komputer ini, hati saya terkesima (betul ke penggunaan nahu ni?) dan perasaan bersalah makin bersarang. Semakin dalam difikirkan, semakin banyak pulak kesalahan dan kekurangan pada diri saya sebagai ibu.
Sebagai ibubapa atau bakal menjadi ibubapa, apa pilihan anda agak-agaknya ? Isteri berhenti kerja dan jaga anak-anak ? Suami yang berpendapatan lebih rendah dari isteri yang berhenti kerja dan mengasuh anak-anak ? Ambil pembantu rumah dan bayar gajinya untuk mengasuh anak-anak ?
Perempuan zaman sekarang rata-rata berpelajaran tinggi….ibu ayah yang dah bersusah payah menyekolahkan anak perempuan mereka tentu mahu melihat anak perempuan mereka bekerjaya dan boleh menanggung mereka dan tidak hanya bergantung harap dengan suami semata-mata. Maka sekarang ni ramailah anak-anak yang diasuh oleh orang lain samada babysitter atau pembantu rumah. Agak sedih kan ?
Jika dibandingkan ibubapa zaman dulu dengan zaman sekarang, pada saya ibubapa sekarang lebih cenderung untuk melakukan banyak kesilapan berbanding ibubapa kita. Ironinya, disebabkan inilah juga ibubapa jadi pelupa (bila mereka dah rasa bersalah) dan terlalu memanjakan anak sampai mereka jadi ’spoiled’. Sedih kan.
Maka inilah perjuangan kita sebagai ibubapa moden. Inilah medan yang Allah S.W.T beri untuk menguji kita samada kita mampu atau tidak untuk membentuk generasi selepas kita ini sebagai satu generasi yang ampuh dan kukuh dari segi agama, moral dan akhlaknya. Memang kita banyak melakukan kesilapan tetapi kita tidak boleh berhenti dan berkata ‘oh, apa saya boleh buat…zaman dah berubah’. Marilah kita sama-sama bermuhasabah dan berusaha untuk memperbaiki diri kita setiap masa. Selamat !
-
Jana Kekayaan Cara Mudah, Cepat dan Tanpa Modal !
Posted on March 15th, 2009 No commentsSalam w.b.t dan selamat sejahtera..
Wah, lama jugak saya tak buat posting…memang hasrat hati nak menulis di sini tapi disebabkan komitmen pada assignment, terpaksalah ditunda.
Semua orang nak jadi kaya kan ? Sebolehnya mereka akan google di internet untuk dapatkan maklumat macamanalah nak jadi kaya dengan cara mudah, cepat dan kalau boleh tak payah keluar modal langsung.
Saya pasti kalau ada yang singgah di blog saya ini disebabkan tadi mereka google “kaya+cepat+mudah” (lebih kurang gitulah keyword nya) di search engine kerana mahukan tips seperti yang saya sebutkan.
Nak jadi kaya memang sangat-sangat senang, rules atau syarat-syaratnya :
Syarat pertama : Jangan ukur kekayaan dengan wang ringgit atau ukuran matawang lain kerana orang paling kaya di dunia ini bukanlah diukur dari nilai RM, USD, EURO, Pound Sterling dan sebagainya tetapi diukur dari segi nikmat yang diperolehi. Dah baca posting saya sebelum ini, Nikmat yang Bukan Percuma ? Apalah gunanya kekayaaan tapi tak dapat mengecapi nikmat kehidupan, tak dapat tidur lena, ada penyakit itu dan ini, hutang keliling pinggang dan sebagainya. Yang penting apakah definasi anda tentang kekayaaan itu.
Memang tak dinafikan, semua orang nak hidup senang. Saya sendiri kalau boleh nak jadi jutawan dan nak lebih banyak wang dari sekarang (eh, sekarang ni banyak wang ke ?? Tak pun
). Saya percaya oleh kerana zat Allah S.W.T yang maha pengasih dan penyayang selalunya cita-cita kita akan dimakbulkan jika kita berusaha dengan bersungguh-sungguh. Tapi adakah cukup dengan bercita-cita sahaja, adakah kita terfikir tanggungjawab yang datang bersama-sama kekayaan itu ?Syarat kedua : Hati mesti mau bersih…kalau hati kotor, wang dalam tangan satu juta ringgit pun kita akan rasa kita masih miskin. Sebab apa ? Nikmat satu juta ringgit itu tidak ada… Orang miskin tapi hatinya baik dan jujur, wang satu ringgit pun bukan main hebat nikmatnya.
Syarat ketiga : Berbuat baik pada ibu bapa dan selalu doakan mereka. Orang yang sanggup melapangkan masa dan mengeluarkan kudrat untuk ibubapa mereka, maka Allah akan melapangkan rezeki untuk mereka.
Syarat keempat : Yang ni mungkin susah sikit tapi hukumnya wajib…iaitu kena tunaikan tanggungjawab kita pada Tuhan yang Satu. Tunaikan rukun islam terutamanya solat lima waktu, puasa dan bayar zakat.
Dan yang terakhir, syarat untuk melipatgandakan kekayaan ialah dengan cara mengeluarkan zakat serta bersedekah. Tidak ada apa-apa rahsia yang perlu dibongkar…inilah senjata yang sebenar-benarnya. Zakat yang kita keluarkan atau sedekah yang dihulur bukanlah modal dari segi literal (modal dari sudut literal ialah sesuatu yang dikeluarkan atau dilaburkan yang akhirnya menjana keuntungan atau mungkin mendatangkan kerugian) tetapi adalah suatu kewajipan. Zakat yang dikeluarkan tidak akan meluakkan kekayaan kita malah menyucikan harta yang kita ada kerana bukan 100% harta dan wang ringgit itu milik kita. Bila harta kita suci maka akan lebih berkatlah rezeki yang kita nikmati maka bertambahlah rahmat dalam kehidupan kita. Inilah erti kekayaan yang sebenarnya.
Sebagai renungan kita bersama, akhirnya sama-samalah kita lihat balik motif kita untuk jadi kaya. Seharusnya kita melihat kekayaan itu bukan untuk kesenangan diri sendiri tetapi juga kesenangan untuk orang lain yang lebih memerlukan. Renungilah firman Allah S.W.T yang berikut :
“Kecelakaan besar bagi mereka yang mencaci dan mengeji, yang mengumpulkan harta serta menghitung-hitung kekayaan, ia beranggapan bahawa harta kekayaan dapat mengekalkannya di dunia, tidak sekali-kali; sesungguhnya ia akan dicampakkan ke dalam neraka yang bernama Hutamah” (Surah Al Humazah, ayat 1-4)
Saya yakin, kalau anda mengikuti tips yang saya berikan di sini insyaallah anda akan beroleh kekayaan yang anda impikan. Bila dah jadi hartawan yang dermawan, jangan lupa kongsikan tips kejayaan anda dengan saya. Selamat !
-
Urusan Pengambilan Pembantu Rumah
Posted on February 24th, 2009 5 commentsRupa-rupanya bukan mudah kalau nak uruskan sendiri proses pengambilan pembantu rumah (”maid”) dengan imegresen. Tak hairanlah kalau ada yang sanggup keluar duit sampai 7 atau 8 ribu, tau-tau maid dah sampai depan pintu rumah.
Bagi mereka yang kurang berkemampuan macam saya (aduh, 8 ribu tu terlalu mahal dong
), bolehlah cari agen-agen persendirian yang boleh dapatkan kita maid tapi urusan dokumen kita kena buat sendiri. Yang ni memang murahlah..sekitar RM4,500 ke RM5,000 (kalau tahun lepas lebih murah sikit…RM4,000 dah boleh dapat) tapi ada 2 perkara kita harus pertimbangkan kalau nak berurusan dengan agen persendirian ni :(1) Kena pastikan agen itu seorang yang boleh dipercayai; dan
(2) kena sanggup luang masa berlari ke sana ke mari (isi borang, bayar setem hasil, hantar borang, urus borang FOMEMA dan lain-lain).
Sebab nak jimat punya pasal, saya pun ambil keputusan untuk guna agen persendirian. Akhirnya dapatlah agen ni yang agak murah tapi saya langsung tak kenal dan tak ada sesiapa pun rekomen (tawakkal aje sebab dah terdesak)…saya dapat nombor dia dari dalam internet aje (adalah agen-agen lain yang kawan-kawan saya rekomen tapi dah takde rezeki semuanya tak dapat dihubungi).
Alhamdulillah, sekarang proses untuk mendapatkan kelulusan dari imegresen di Malaysia dah selesai. Saya dahpun hantar ‘Calling Visa’ atau surat kelulusan tersebut beserta resit bayaran levi sebanyak RM430 ke agen saya yang berada di Terengganu dan sekarang hanya tunggu maid sampai dan lepas tu kena buat FOMEMA (pemeriksaan kesihatan ke atas maid tersebut).
Kalau anda berada di kawasan KL atau Selangor, atau kat mana-mana aje lah, sebelum nak ke pejabat imegresen untuk hantar borang permohonan yang siap diisi, pastikan dulu samada cawangan tersebut ada menyediakan urusan pembantu rumah. Pengalaman saya sendiri, konon nak ke Imegresen Putrajaya tapi memikirkan Imegresen Kajang lebih dekat, maka sayapun berlarilah ke Imegresen Kajang. Rupa-rupanya di situ tiada khidmat menguruskan pengambilan pembantu rumah. Terpaksalah saya bergegas pulak ke Imegresen Shah Alam… kebetulan hari tu cuti hari wilayah, pejabat imegresen di Putrajaya dan Damansara pulak tutup. Penat oo….
Pengalaman kakak ipar saya berurusan di Imegresen Putrajaya memang senang…borang dan dokumen diperiksa tanpa banyak soal, orang pun taklah ramai sangat. Dia sanggup ke sana walhal dia duduk di Shah Alam. Saya pulak, terpaksa berkejar ke Imegresen Shah Alam dari Imegresen Kajang tanpa rela. Hmm…adalah jugak soalan-soalan ‘tak puas hati’ dari kerani di kaunter berkenaan dokumen-dokumen yang saya isi, alamat tak lengkaplah, penyata gaji bukan yang terkinilah…tapi akhirnya, phew…tiga hari selepas itu pegawainya meluluskan permohonan saya. Akhirnya dapatlah saya meneruskan niat mengambil ‘Zainab’, nama maid baru saya tu sebagai pembantu peribadi saya (istilah baru).
Jadi buat rakan-rakan dan adik-adik semua, untuk ambil pembantu rumah sendiri kita kenalah buat ‘homework’ sikit dari awal proses hingga akhir supaya kita lebih bersedia…kalau tak banyak ‘unnecessary pressure’ dan ‘frustration’ yang terpaksa ditanggung. Hmm tapi kalau niat itu semuanya untuk mencari keredhaan Allah dan ikhlas untuk-Nya…pasti kita akan rasa puas bila segala urusan dah selesai. Ha, lepas tu sesi melayan kerenah dan memotivasi maid kita pulak. Menarik kan.
Selamat !
-
Sistem Tua Yang Dipandang Sepi
Posted on February 20th, 2009 2 commentsSalam w.b.t, salam sejahtera,
Apa sistem yang tua tu ?
Umat islam sudah lama dibekalkan dengan pelbagai sistem yang diajar dan diturunkan Allah melalui Al-Quran dan hadith, seperti diajar oleh Rasulullah S.A.W. Sistem yang saya maksudkan adalah seperti sistem perundangan islam, sistem institusi kekeluargaan islam, sistem zakat, sistem wakaf, sistem ekonomi serta sistem kewangan islam.
Sebenarnya tidak ada apa-apa yang pelik berkenaan sistem yang saya maksudkan tu sebab semua orang tau ia wujud…cuma apa yang agak menyedihkan ialah sebagai umat islam dan mendiami sebuah negara yang didakwa sebagai negara islam…adakah kita mengamalkan sistem-sistem islam ? Contohnya, kita sedia maklum negara kita mengamalkan sistem zakat…tetapi adakah sistem ini dipraktikkan dengan betul ? Hmm.. saya rasa kalau sistem ini diamalkan dengan betul sudah tentu Malaysia dapat mencapai kemiskinan tegar ’sifar’. Ini kerana kutipan zakat dapat diagihkan dengan sempurna kepada pihak yang berhak. Jika sistem perundangan islam seperti Hudud dan Qisas diamalkan dengan berkesan saya rasa masalah jenayah di negara kita tidaklah bermaharajalela macam sekarang.
Apa yang jelas dan nyata…di suratkhabar dan di mana-mana media sibuk orang bercakap tentang sistem kewangan islam…di saat sistem perbankan konvensional sedang melingkup semua orang memuji sistem kewangan islam dan memberi sepenuh perhatian kepada sistem ini.
Ironinya, banyak sistem-sistem islam lain yang terus dipandang sepi…mengapa hanya sistem kewangan islam saja yang diwar-warkan, yang dibangga-banggakan ? Sekarang ni negara-negara bukan islam seperti Hong Kong, Singapura dan Korea Selatan berlumba-lumba hendak menjadi hub perbankan islam di rantau Asia dan masing-masing hendak membina kepakaran…. Malaysia pun tak kurang hebat. Tapi hanya sistem kewangan islam saja yang difokuskan.
Semasa kelas Islamic Economics yang saya hadiri, pensyarah saya begitu menekankan bahawa sistem kewangan islam tidak akan berjaya jika sistem-sistem islam lain tidak dibina, dijaga dan dipraktikkan. Orang hanya berminat dengan sistem kewangan islam sebab apa ? Sebab dalam otak akal pemikiran mereka hanya fikir duit, duit, duit. Bagaimana dengan sistem wakaf, sistem zakat, sistem keluarga dan lain-lain sistem yang berlandaskan syariah ?
Setiap niat dan perlakuan mestilah kerana Allah Taala. Bukan kerana wang ringgit, bukan kerana ekonomi dan bukan kerana hendak menjadi hub itu, hub ini. Yang pasti, tanggungjawab untuk melaksanakan sistem-sistem islam ini semuanya terletak dalam tangan kita. Setiap insan : saya, anda yang sedang membaca, suami dan isteri kita, ibu bapa kita, anak-anak kita, jiran tetangga kita dan rakan sekerja kita semuanya bertanggungjawab dan akan disoal di hari akhirat apakah peranan dan sumbangan yang kita lakukan untuk melaksanakan dan menyokong kesemua sistem-sistem Allah ini.
Makin lama saya fikir-fikirkan tentang tanggungjawab ini…saya rasa makin takut. Saya lihat muka anak saya seorang demi seorang…saya rasa makin syahdu. Adakah saya telah berjaya memainkan peranan sebagai ibu dan membimbing anak-anak saya supaya mereka besar nanti mereka boleh menjadi pemimpin yang lantang yang boleh menerajui sebuah negara berteraskan sistem islam yang sebenar ? Oh, beratnya tanggungjawab ini.
Inilah istimewanya manusia kerana manusia terpilih untuk menjadi khalifah di dunia. Dipilih bukan kerana kehebatan manusia itu sendiri tetapi kerana sifat pelupa dan tamak manusia. Diceritakan didalam Al-Quran bahawa Allah pernah membuat tawaran pada bukit dan gunung ganang untuk menjadi khalifah di dunia tetapi gunung dan bukit menolak; Allah tawarkan pula pada binatang-binatang tapi mereka menolak…tetapi apabila ditawarkan kepada manusia, terus aja manusia menerima amanah tersebut tanpa memikirkan tanggungjawab yang amat berat itu.
Walaupun begitu, oleh kerana sifat Allah yang maha penyayang, Allah tidak melihat ‘end result’ tapi yang penting perjuangan kita serta sumbangan kita keseluruhannya. Maka, jika seluruh usaha, tenaga, wang ringgit dan masa telah dicurahkan untuk menyumbang kepada pembangunan sistem islam tetapi di penghujung hayat kita Malaysia ini masih seperti Malaysia yang sekarang … janganlah bimbang sebab Allah akan tetap memberikan ganjaran kepada kita, insyaallah.
Saya menyeru kepada diri saya sendiri, rakan-rakan dan adik-adik sekalian supaya kita mula bertindak dan melakukan sesuatu ke arah menyumbang kepada pembangunan sistem islam. Dengan kukuhnya islam dan ummahnya, insyaallah musuh akan gerun pada kita. Selamat !
-
Komunikasi Terhebat
Posted on February 16th, 2009 2 commentsSalam w.b.t, selamat sejahtera.
Semua benda hidup berkomunikasi, hatta pokok dan tumbuh-tumbuhan (bertindakbalas terhadap cahaya). Manusia dan haiwan apatahlagi. Saya suka memerhati cara orang di sekeliling saya berkomunikasi : kawan-kawan, rakan sekerja dan bos di opis, orang sedang tunggu bas, orang sedang pegi kerja, sang suami di rumah (wajib nih), anak-anak yang sedang bergurau-gaduh dan macam-macam lagi. Pendek kata, selagi sesuatu yang hidup dan bernyawa itu tidak tidur, semuanya berkomunikasi….setuju ?
Sebenarnya kita tak perlu diajar bagaimana untuk berkomunkasi sebab ia adalah perkara semulajadi..orang yang cacat pendengaran dan bisu juga ada cara mereka berkomunikasi. Budak yang baru dilahirkan ke dunia pun tau macamana nak berkomunikasi. Cuma apa yang saya dah lama tertarik hati dan ingin ‘highlight’ di sini ialah…. hebatkah kita bila berkomunikasi ?
Pada pendapat saya, orang yang hebat berkomunikasi ialah orang yang waras dan menggunakan akal bila berkomunikasi. Akal menjadi panduan bila berkomunkasi manakala niat adalah penggerak atau pencetus komunikasi itu sendiri. Bukan senang nak ambil hati ibu mertua yang garang serta cerewet dan bukan mudah nak mintak suami belikan hadiah rantai tangan (hehe
). Agak mencabar juga bila kita terpaksa yakinkan bos di tempat kerja dengan cadangan-cadangan kita dan tidak kurang payahnya bila kita kena ajar budak junior yang baru join department kita.Mungkin sukar untuk kita mencapai tahap ‘terhebat’ dalam setiap komunikasi kita memandangkan kita ni pun bukanlah manusia yang sempurna, tapi sekurang-kurangnya kita berusaha untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Jika niat yang baik tu dah ada, insyaallah hasilnya akan terpamer jua. Ada beberapa tips yang boleh saya kongsikan di sini untuk mendapat komunikasi terhebat :-
(1) Pasang niat bila memperkata dan menulis sesuatu itu kerana Allah Taala;
(2) Bercakap, bergurau, menegur/ menasihati bila perlu dan pada tempat yang betul - kena lihat dulu kesesuaian dan keperluan. Kat sinilah yang membezakan komunkasi yang hebat dan kurang hebat….yang hebat ialah bila dia fikir 2 kali sebelum bertindak;
(3) Asingkan emosi negatif seperti marah, menyampah dan sedih melampau daripada komunikasi. Berhenti dulu, tarik napas dan pikir perkara-perkara yang boleh meredakan kemarahan atau kekecewaan anda sebelum meneruskan komunikasi (hmm…yang ni banyak membantu saya);
(4) Banyakkan senyum dan perihatin tentang ‘body gesture’ kita…contohnya, masa sedang menghadiri interview kerja walaupun kita sedang bergemuruh berdebar-debar menunggu giliran janganlah pulak gigit-gigit kuku…lagilah nampak yang kita ni gabra;
(5) Banyakkan sentuhan mesra dengan suami, anak-anak dan ibubapa-ibubapa kita serta muhrim kita yang lain…. setengah orang tu susah betul nak peluk dan cium mak mertua atau mak dia sendiri…maka kenalah kita berusaha untuk atasi kesukaran ini. Nak mula memang susah tapi bila dah biasa, memang berbaloi;
(6) Untuk tambahkan keyakinan, ambil kelas ‘grooming’, jaga bentuk badan/ diet, jaga kebersihan mulut dan gigi (ada orang bila dia mula senyum habis ’spoil’ komunikasi…kesian)…dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya;
(7) Akhir sekali, kalau tips-tips di atas tu tak dapat membantu, istighfarlah banyak-banyak…sekurang-kurangnya anda sudah mencuba.
Apabila anda rasa tenang, hati rasa senang, kawan-kawanpun ramai…itu tandanya anda telah mencapai satu kemajuan dan kehebatan tersendiri dalam stail komunikasi anda. Selamat !
-
Menilai Harga Suatu Masa
Posted on February 5th, 2009 4 commentsSalam semua !
Sejak kebelakangan ini saya begitu sibuk terutama bila saya dah mula menghadiri kuliah dan kelas tutorial . Memang mencabar bila terpaksa nak membahagikan masa dengan kerjaya, keluarga (suami dan anak-anak)..dan sekarang pelajaran pulak.
Tadi saya mengikuti kelas tutorial dan pensyarah ada membincangkan tentang masa. Selama ini saya menyangka hanya saya sorang saja yang ada keinginan untuk membeli masa..rupa-rupanya ramai juga yang ada keinginan yang sama. Saya juga pernah post artikel bertajuk ‘Andainya Masa Dapat Kubeli’ beberapa bulan yang lepas.
Apa yang saya ingin kongsi di sini ialah apa yang pensyarah tadi perkatakan.
Kenapa kita rasa macam masa tidak pernah cukup buat kita ?
Adakah kita mempunyai kuasa yang sepenuhnya untuk mengawal dan menggunakan waktu itu seperti yang kita kehendaki ?
Akhirnya, saya mendapat jawapan…
Untuk mendapat masa yang sentiasa cukup…. masa yang kita ada itu perlulah berkat. Sebagaimana kita memastikan rezeki kita adalah berkat, datang dari sumber yang berkat, begitulah masa yang kita ada. Masa yang hanya 24 jam sehari itu adalah harta yang paling berharga buat kita semua sebenarnya.
Kengkadang…hmmm bukan kengkadang tapi selalu sangat saya hangin satu badan bila orang potong queue bila pandu kereta, motorsikal mencilok sesuka hati, mesin potostat kat pejabat buat hal, hingga saya merungut-rungut kenapa banyak masa yang terbuang bila kena mengharung jem trafik, nak membetulkan mesin potostat dan lain-lain. Saya rasa selama ini saya silap kerana hanya memandang kepada masa yang ‘terbuang’ tetapi saya terlupa untuk menjadikan masa yang terpakai (bukan lagi terbuang
) itu sesuatu yang berkat. Caranya mudah saja : nawaitu kita dan kesedaran kita adalah, apa yang dilakukan adalah kerana Allah Taala…bukan sebab nak kejar punchcard, bukan nak kejar deadline dan lain-lain. Hati akan pasti lebih tenang dan setiap saat apabila kita mengenang Allah maka Allah akan memberikan ganjaran pahala buat kita. Bukankah setiap saat dalam hidup ini adalah untuk beribadah kepada Allah ?Pada pengamatan saya, trend masakini ialah umat islam lebih cenderung melihat kebendaan. Apabila masa juga dianggap sesuatu yang berharga dari sudut materialistik, maka 24 jam sehari yang kita ada memang akan tak pernah cukup.
Sebagai insan yang penuh kekurangan, banyak kesilapan yang saya lakukan dan banyak masa yang saya miliki dulu terbuang begitu saja. Saya harap rakan-rakan, adik-adik seperjuangan sekalian dapat menfaat sedikit sebanyak dari perkongsian ini dan masih belum terlambat untuk kita berubah demi kebaikan. Selamat !
-
Penipuan Melalui Kad ATM
Posted on January 31st, 2009 No commentsSalam, bertemu kita kembali.
Saya ingin berkongsi dengan anda semua berkenaan perkembangan terkini kegiatan menipu orangramai melalui kad ATM. Terkini yang dilaporkan, modus operandi mereka yang tidak bertanggungjawab adalah seperti berikut :
(1) Mula-mula mereka akan menghampiri mangsa yang sedang hendak membuat pengeluaran di mesin ATM dengan menyamar sebagai pegawai bank atau berpura-pura hendak menolong mangsa membuat pengeluaran wang atau lain-lain urusniaga;
(2) mereka akan menawarkan pertolongan dengan melakukan transaksi untuk anda; anda hanya perlu lihat dan tunggu hingga transaksi selesai atau hingga pengeluaran wang selesai dan anda mendapat wang anda.
(3) Si penyamar tadi akan segera memulangkan kad ATM dan anda pun pulang dengan gembiranya tanpa mengesyaki apa-apa.
Anda hanya akan sedar anda sudah tertipu apabila :
Menyedari kad ATM itu tidak lagi berfungsi atau telah di’block’, ‘inactive’ dan sebagainya. Kemudian anda pasti anda sudah ditipu apabila menyedari kad ATM yang di dalam simpanan anda itu sebenarnya bukan kad ATM anda !
Sebenarnya taktik yang digunakan si penjenayah ini mudah saja…mereka adalah ‘opportunist’ yang mengambil kesempatan di atas kelalaian dan kepercayaan melulu yang diberikan si mangsa. Apa yang berlaku, semasa si penjenayah menawarkan pertolongan, si mangsa secara ‘tak tersengaja’ telah memberitahu katalaluan mereka supaya transaksi dapat dilakukan dengan pertolongan si penjenayah yang berpura-pura menjadi pegawai bank. Setelah selesai transaksi, si penjenayah yang licik ini akan memulangkan semula kad ATM kepada anda tetapi dia sempat menukarkan kad itu dengan kad ATM yang lain…yakni bukan kepunyaan anda ! Bayangkan…dia berjaya ‘mencuri’ kad ATM anda malah dapat mengetahui katalaluan anda ! Bijak…bijak.
Mereka yang mudah tertipu biasanya mereka yang kurang arif dengan fungsi mesin ATM dan akan mudah rasa seronok dan berterimakasih bilamana ada orang yang sudi memudahkan urusan mereka.
Jadi, kesimpulannya perkara-perkara yang harus dilakukan apabila anda ingin melakukan transaksi di ATM ialah :-
(a) Sentiasa berwaspada dan jangan cepat terpedaya jikalau ada orang menawarkan pertolongan untuk melakukan transaksi untuk anda;
(b) Pastikan jarak yang ‘selamat’ dengan orang di belakang anda atau cuba ‘cover’ sedikit semasa membuat transaksi agar orang di belakang tak boleh nak mengendap no pin anda;
(c) Pastikan nama anda tertulis pada kad ATM (boleh tulis pakai marker).
Itulah sedikit perkkongsian pada kali ini….diharap memberi menfaat pada pembaca budiman semua. Selamat !





















Recent Comments