-
Diet Paling Berkesan Sepanjang Bulan Ramadan
Posted on August 17th, 2010 No commentsSalam w.b.t dan selamat sejahtera buat semua,
Sungguh lama saya tidak menulis di blog ni…..kengkadang ‘priority of duty’ dan kekangan masa sangat memainkan peranan dalam menentukan mana yang kita akan buat dahulu. Agaknya kenapa Tuhan hanya bagi kita cuma 24 jam sehari ? Sedangkan manusia diberi begitu banyak amanat dan tanggungjawab serta tugas……….mana nak jadi anak, nak jadi isteri/ suami, jadi ibu/ bapa, jadi kakak/ abang/ adik, jadi guru/ anak murid, jadi boss/ pekerja dan macam2 lagilah.
Jadi untuk mengemudi hidup kita sebaik mungkin, kita perlukan ilmu. Ilmu dalam melayari dan belajar selok belok pelayaran di lautan yang berpenghujung. Kita tidak akan berhenti belajar di sepanjang pelayaran. Hanya bila Tuhan sudah menetapkan destinasi kita atau bila sudah sampai waktu yang ditentukan, barulah terhenti segala proses pembelajaran itu.
Wah, panjang betul mukaddimah
. Sebelum berceloteh lebih lanjut, selamat menyambut Ramadhan buat semua muslimin dan muslimat dan semoga ibadat kita semua diterima olehNya. Ameen.Berbalik kepada tajuk kita di atas, bagaimana dikatakan diet paling berkesan tu ?
Okeh, diet paling berkesan memerlukan kekuatan yang berikut :
1. Kekuatan melawan bisikan dan hasutan syaitan;
2. Kekuatan melawan nafsu;
3. Yakin diri atau ’faith’.
Kekuatan melawan bisikan dan hasutan syaitan. Dalam pada kita berdiet terutama di bulan Ramadhan ni, kita tentulah kena jaga stamina dan tidak membazir tenaga pada benda2 yang kurang berfaedah. Selain dari membuat amal ibadat yang dituntut oleh Islam, kita ditegah melakukan perbuatan2 ‘lagha’ atau yang melalaikan serta membiarkan perasaan amarah dan sedih yang melampau menguasai diri kita. Eh…apa kena mengena dengan diet ?
Diet yang sempurna bukan hanya dari segi menjaga apa yang kita makan tetapi yang penting fokus minda kita kepada hasil yg diinginkan daripada diet kita. Untuk diet yang paling berkesan dan ’shariah compliant’, minda kita juga perlu ‘diet’. Kita perlukan tenaga untuk memfokus kepada menguruskan tanggungjawab kita dengan lebih efektif serta melaksanakan kerja2 yang lebih bermanfaat. Cuba lihat analogi di bawah ni :-
Dina pulang kerja marah2 hari ini disebabkan perselisihan faham di pejabat. Rakan sekerja Dina, Sakinah hanya memandang dan menggeleng2 kepala. Di bazaar Ramadhan, marah Dina masih belum reda melihatkan tingkahlakunya. Gadis gebu itu seperti terburu2 dan dengan kasar memesan makanan…kali ini tiada lagi lauk pauk ulam-ulaman serta ikan bakar. “Ah, benganglah…aku nak melantak puas2 waktu berbuka nanti”, jawab Dina dengan pantas bila ditanya Sakinah. Malam itu Sakinah ke masjid menunaikan solat terawih tanpa Dina. Selesai solat maghrib, Dina sudah terkapar tidur kerana terlalu kenyang dan mengantuk.
Jadi maksud saya, bila minda kita dikuasai rasa marah (atau perasaan negatif yang lain) dengan berlebih-lebihan, maka hilanglah fokus kita kepada perkara2 yang lebih menguntungkan. Kita mula buat perkara2 yang akhirnya merosakkan badan atau minda kita sendiri. Syaitan, walaupun golongan ini dirantai di sepanjang bulan Ramadhan, mereka masih boleh bertepuk tangan bersorak gembira bila kita termakan hasutan mereka. Jadi katakunci untuk diet yang berkesan bulan Ramadhan ini ialah FOKUS, FOKUS dan FOKUS pada misi diet kita.
Kekuatan melawan nafsu. Nafsu yang jahat adalah Nafsu Amarah, manakala nafsu yang membawa kebaikan dinamakan Nafsu Mutma’innah. Kedua-dua nafsu ini senantiasa berdampingan mengiringi manusia.
Saya ingin memetik nota Tn Haji Razali Daud daripada Tazkirah Zohor di surau bangunan Tabung Haji pada 1 Ramadhan minggu yang lalu (nama ustaz yang menyampaikan tazkirah tak ditulis pula). Ini kisah tentang ‘makhluk’ Allah yang bernama Nafsu (nafsu yang dimiliki oleh semua manusia). Apabila Allah SWT meniupkan roh pada jasad, maka Nafsu mula bermaharajalela.
Allah SWT pun memanggil Nafsu dan mengajukan pertanyaan, “Siapakah AKU dan siapa pula engkau ?”.
Nafsu dengan bongkak menjawab, “Engkau adalah ENGKAU dan aku adalah aku”.
Maka Allah SWT pun mencampakkan Nafsu ke neraka untuk dihukum dan dibakar selama 1000 tahun.
Setelah 1000 tahun berlalu, Allah SWT menanyakan soalan yang sama terhadap Nafsu. Nafsu tetap sombong dan memberikan jawapan yang sama. Sekali lagi Nafsu dihumban ke neraka selama 1000 tahun.
Selepas 1000 tahun yang kedua, Allah SWT mengajukan soalan yang sama kepada Nafsu. Nafsu masih menjawap jawapan yang sama dan terus dicampak sekali lagi ke neraka dek keangkuhannya itu. Begitu bongkaknya Nafsu.
Apabila Nafsu sudah dibakar api neraka selama 3000 tahun. Allah SWT lantas mengeluarkan Nafsu. Tetapi pada kali ini Allah SWT mengekang segala pergerakan Nafsu selama 30 hari. Setelah 30 hari berakhir, Allah SWT kembali bertanya kepada Nafsu soalan yang pernah ditanya dulu. Kali ini barulah Nafsu tunduk malu dan menjawab, “ENGKAU adalah Allah SWT yang memiliki segalanya, dan aku adalah hamba yang ENGKAU cipta”.
Jadi puasa 30 hari adalah latihan untuk mengekang dan mengawal nafsu. Nafsu, jika tidak dikawal, akan menyebabkan kita turut dicampak ke neraka. Tetapi jika nafsu dapat dididik ke arah kebaikan (mutma’innah), maka bahagialah kita di alam yang selepas ini.
Maka kesimpulannya, diet pemakanan kita memang banyak dipengaruhi oleh nafsu. Nafsu akan sentiasa menggoda kita, malah syaitan akan turut serta berganding bahu dengan nafsu supaya kita terjebak memilih sesuatu yang akhirnya nanti menyakiti atau merosakkan tubuh badan kita sendiri. Pernah ada orang, terutama orang2 tua di kampung yang berkata bahawa penyakit kanser itu adalah penyakit yang berasal dari syaitan. Pada saya, ada betulnya (walaupun bukan semua kes). Orang yang mengidap penyakit kanser paru2 disebabkan gejala merokok, asap rokok yang bahaya ini telah merosakkan paru2 pengidap. Perbuatan merokok itu sendiri adalah oleh kerana seseorang itu bersekongkol dengan syaitan untuk menyakiti tubuh mereka sendiri. Adalah sifat syaitan itu untuk menghalang kita dari menjadi insan yang sihat yang baik dan berbudi kepada keluarga dan masyarakat. Kita selalu juga mendengar berita kemalangan jalan raya dan berasa amat sedih bila ramai anggota keluarga yang dalam perjalanan menziarahi ahli keluarga lain maut….ini sebahagian kerja syaitan yang memang suka merosakkan manusia. Sebab itu kita kena selalu membaca ayat2 suci AlQuran dan memohon perlindungan dari Allah SWT dari syaitan yang mahu menyakiti tubuh badan, rohani dan jasmani kita. A’uzubillah…
Yakin diri atau ‘faith’. Kita selalu hilang fokus dan sentiasa tidak yakin pada diri sendiri. Apabila kita mempunyai benteng yang kukuh dan kekuatan yang disebut di atas, maka berusahalah membina keyakinan diri. Cakap memang senang kan. Hakikatnya kita perlu melatih diri kita supaya membina dan pengekalkan tahap keyakinan dan jatidiri. Kita perlu berusaha sedaya mungkin, dan selebihnya kita berserah pada Tuhan. Kalau kita dah nekad untuk menjaga pemakanan dan kesihatan kita (kerana dengan ilmu yang diperolehi kita tahu apa fadilat atau hasil yang bakal diperoleh kalau kita mengatur diet yang paling baik untuk badan kita) maka organ badan kita akan secara automatik bertindak mengikut arahan otak. Otak akan memberitahu apa jenis makanan yang patut dibeli atau dijamah, berapa banyak kuantiti yang sepatutnya dan adakah persekitaran makanan itu bersih atau tidak. Maka gerak anggota badan akan secara harmoni bertindak dan memilih diet yang terbaik dan betul2 diperlukan oleh tubuh badan.
Cakap memang senang kan
. Nampak macam susah, tapi saya percaya ini adalah pendekatan asas untuk seseorang itu berdiet, samada untuk kurus atau mengekalkan susuk badan langsing yang sihat. Marilah kita mulakan misi pemakanan sihat dari sekarang. Berhentilah merokok dan lakukan senaman. Kalau dulu tak bersenam langsung, mulalah dengan senaman ringan di bilik. Biar sedikit asal konsisten. InsyaAllah ada hasilnya. Allah SWT tidak pernah mengecewakan hamba-Nya, apa yang kita usahakan sungguh2 selalu dimakbulkan-Nya. Setuju tak ? Cuba selami memori silam anda kalau tak percaya
.Selepas menulis tentang diet berkesan, saya akan menulis tentang cara pemakanan berkesan pulak. Sekadar berkongsi kepada sesapa yang sudi
. Mudah2an ada kelapangan masa nanti. Wassalam. Selamat ! -
Tarif Elektrik - Tiada Lagi Subsidi ?
Posted on April 14th, 2010 No commentsSalam w.b.t, salam sejahtera,
Saya baru je membaca artikel akhbar bertajuk “Tarif: Usah Lagi Berteka Teki” di Utusan Malaysia Online bertarikh hari ini, 14 April 2010. Pertama kali membaca artikel ini, saya tak bersetuju apabila penganalisis mengatakan salah satu cara untuk merialisasikan dasar Model Ekonomi Baru adalah dengan menamatkan subsidi gas dan tenaga. Ini sudah mendatangkan marah !!! Grrr…. Dah lah harga barang meningkat, ni nak hapuskan subsidi petrol pulak lagi.
Tapi selepas membaca kali kedua, saya rasa apa yang penganalisis tu cakap adalah betul. Penulis artikel ini mungkin terlupa untuk menyatakan bahawa tulisannya itu haruslah dilihat dari perspektif sektor syarikat/ pengguna domestik dan bukanlah pengguna biasa atau isirumah macam kita.
Apa yang ditekankan oleh artikel ini bahawa pengusaha domestik di negara kita terlalu dimanjakan dengan subsidi. Mereka mahu kos pengeluaran mereka di tahap minimum, sehinggakan apabila kerajaan menaikkan harga minyak sedikit pun, mereka tidak sabar2 untuk memindahkan kos tersebut kepada pengguna hingga menyebabkan harga barang meningkat. Sudah pasti ada kumpulan2 peniaga, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan yang bermati-matian mahu subsidi ini dikekalkan tapi hakikatnya sudah tiba masa untuk mereka ini belajar berdikari. Kita sudah berada di era GLOBALISASI dan kita tidak lagi boleh mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata.
Kita bukanlah mahu menjadi seperti Amerika Syarikat atau Britain yang mengamalkan dasar ekonomi ‘free market’ dan meletakkan pasaran sebagai platform penentu segala….tetapi sekurang2nya kita harus bersedia menghadapi pasaran yang lebih mencabar di luar sana. Peruntukan subsidi ini pula dapat disalurkan kepada cabang2 yang lebih penting dan lebih memerlukan perhatian seperti bidang kesihatan, pendidikan, pembangunan luar bandar dan sebagainya. Kita tidak mahu generasi akan datang yang terus mengharapkan bantuan kerajaan semata2 dan tidak boleh berdiri sendiri.
Yang penting, kerajaan sekarang mesti, mesti, mesti berupaya melaksanakan dasar yang bersesuaian dan efektif. Perlaksanaan mestilah bijak, umpama menarik rambut dari dalam tepung…rambut tak putus, tepung tak bersepah. Akhir sekali, kerajaan boleh memutuskan untuk menarik balik subsidi elektrik dan gas kepada pengguna domestik tetapi ini melibatkan sentimen politik dan amat susah untuk dilaksanakan. Tetapi secara peribadi saya rasa kita kena menerima hakikat bahawa stok simpanan minyak kita bakal habis menjelang 2016 ke 2019 dan akan sampai masa kita terpaksa membeli dari negara luar atau meneroka simpanan tenaga yang lebih jauh. Sudah pasti pada masa ini harga bahan tenaga akan mahal dan pastilah tiada lagi subsidi dapat diberi.
Sebab itulah penganalis berpendapat bahawa prestasi syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) perlu diperbaiki. Selama ini TNB ini menerima tempias kesan dari pemberian subsidi oleh kerajaan. Keuntungan yang diperolehi oleh TNB amatlah rendah berbanding keuntungan syarikat tenaga di negara-negara lain. Mana kan tidak, TNB terpaksa membayar harga yang mahal kepada Syarikat Pengeluar Tenaga Bebas (dalam inggeris disebut sebagai ‘Independent Power Producer’ atau singkatannya IPP) seperti Malakoff, YTL Power, Sarawak Energy dan sebagainya. Mengapa kerajaan terlalu menjaga kepentingan syarikat-syarikat ini hingga menjejaskan kepentingan awam ? Pernah kerajaan hendak melaksanakan ’Windfall Profit Levy (Electricity Order) 2008 iaitu IPP dikenakan cukai di atas keuntungan yang dicatat mereka tetapi banyak tentangan yang diterima kerajaan terutama pihak2 bank dan pelabur yang membiaya IPP ini.
Kesimpulannya, semua pihak perlu sedar bahawa kerajaan tidak boleh bertindak sendiri dan mengharapkan penglibatan pihak swasta (sebab itu adanya dasar penswastaan yang dilaksanakan kerajaan dahulu). Bila ada penglibatan swasta, kos adalah diurus dan ditentukan oleh pengusaha swasta. Tetapi sektor swasta ini perlu juga dipantau agar tidak melampaui etika dan tanggungjawab sosial mereka. Apa yang dibimbangi, sektor swasta terdedah kepada risiko pengurusan yang tidak bijak, pemilihan strategi yang lemah, kegiatan pecah amanah dan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya.
Akhir sekali, apa yang saya dapat simpulkan ialah kita mesti mempunyai kerajaan yang telus dan bijak dan dapat melaksanakan ‘check and balance’ terhadap sektor swasta ini. Dan di pihak sektor swasta pula, modal insan mestilah ada kualiti. Tapi apa akan jadi kalau dalam kerajaan sendiri banyak aktiviti menyalahguna kuasa dan makan rasuah, sogokan dan duit kopi ? Pastinya kerajaan sendiri perlu berubah dan memperbaiki diri mereka dulu. Selamat !
Wassalam.
-
Model Ekonomi Baru - Suatu Permulaan
Posted on April 3rd, 2010 2 commentsSalam w.b.t, salam sejahtera,
Yang Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan Model Ekonomi Baru beberapa hari yang lalu. Ramai menyambut baik pelan ekonomi baru ini dan ramai yang skeptikal tentang perlaksanaan sistem ini. Pada pendapat saya, model ini sangat bertepatan pada masanya dan sudah tiba saatnya pihak kerajaan sedar bahawa mereka perlu mengambil langkah2 drastik dan berani untuk bersedia mengubah polisi2 lapuk mereka dan berusaha menyokong sektor swasta di negara kita.
Kenapa kerajaan memperkenalkan Model Ekonomi Baru ini ? Untuk makluman anda, negara yang kita sayangi ini sebenarnya tertinggal di belakang kalau hendak dibandingkan dengan negara2 Asean jiran kita iaitu Indonesia, Thailand, Taiwan, Filipina malah jauh ketinggalan berbanding China. Selepas krisis ekonomi teruk yang melanda rantau Asia pada 1997/ 1998, negara2 di rantau Asia bertungkus lumus membangun dan memperbaiki keadaan ekonomi masing2…malah negara seperti Indonesia (kalau saya tak silap) terpaksa berhutang dgn IMF untuk membangunkan semula ekonomi mereka. Hakikatnya, hingga sekarang pertumbuhan ekonomi mereka (GDP) sebenarnya adalah lebih tinggi dari Malaysia. Maaflah, saya tidak berkesempatan untuk menghuraikan secara statistik di sini perbezaan pertumbuhan ekonomi negara kita berbanding negara jiran, tetapi menurut pembacaan saya, adalah suatu fakta dan hakikat negara jiran kita jauh lebih berjaya dalam mengurus ekonomi mereka.
Kalau ini dibiar berlanjutan, nescaya kuranglah pelaburan dalam negara kita. Dan berkuranglah aktiviti ekonomi sehingga memungkinkan kadar pengangguran meningkat diikuti peningkatan kadar inflasi. Natijahnya rakyat sendiri yang akan menanggung derita.
Mungkin kita akan berkata, “ah, biarlah…kita kerja ala kadar, cukup makan…sudahlah”. Malang sekali kalau kita berfikiran sebegini. Malah Islam sendiri menganjurkan untuk kita bekerja seolah2 kita akan hidup 1,000 tahun lagi, dan beribadah seolah2 kita akan mati esok hari. Islam sendiri mengutamakan muamalat dan ekonomi sebagai satu kitaran kehidupan yang penting untuk pembangunan ummah. Melalui ekonomi jurang kemiskinan dapat dikurangkan dan zakat dapt disalurkan daripada golongan kaya kepada yang miskin.
Apatah lagi pada era ini kita berdepan dengan globalisasi. Banyak fitnah dunia dan lebih banyak cabaran yang harus dipikul oleh umat nabi zaman ini. Manusia semakin maju dan banyak keputusan dibuat oleh pihak yang menindas kumpulan yang lemah. Apakah yang akan terjadi kalau kumpulan yang menindas ini bukan golongan yang beriman, fasik, makan rasuah dan hanya mementingkan diri sendiri ? Penindasan akan bermaharajalela dan akhirnya Maqasid al Shariah tidak lagi dijaga. Jadi, suka atau tidak, kita mestilah bekerja keras untuk berjaya dalam hidup ini. Jangan biarkan kita menjadi golongan yang ditindas, yang hanya menjadi pak turut.
Maka, Malaysia mesti maju. Mesti menjadi islamic country yang kuat, kukuh ekonomi, kukuh reputasi dan mempunyai modal insan yang hebat. Kalau dulu kita menarik pelaburan asing dengan menawarkan persekitaran yang jimat kos kepada pelabur, sekarang tidak lagi. Pelabur asing lebih suka melabur di Indonesia dan Thailand kerana pelaburan di sana lebih jimat kos. Bagaimana dengan Malaysia ? Kita sudah tidak ada apa2 kelebihan lagi… negara2 jiran sudah menjadi lebih baik dari kita, sudah lebih bijak.
Maka inilah strategi kita. Setelah didesak oleh pakar2 ekonomi dan hasil dari penyelidikan dan perancangan rapi, kerajaan akhirnya memperkenalkan Model Eknonomi Baru, suatu strategi untuk dilaksanakan dalam jangkamasa 10 tahun. Malaysia akan menjadi a high income country. Bagaimana ?
Kerajaan mahu supaya semua rakyat mempunyai pendapatan yang tinggi dan lebih baik berbanding dengan negara2 di rantau asia lain. Maka taraf ekonomi mesti lebih baik tanpa mengira kaum dan tiada kemiskinan tegar. Rakyat adalah dari golongan terpelajar dan ini menyediakan modal insan yang berkualiti tinggi. Bukan sahaja terpelajar tapi mampu berdaya saing dari segi kerja dan komitmen. Inilah strategi untuk kita menarik pelabur asing untuk melabur di negara kita. Bagi pelabur domestik atau sektor swasta di negara kita, kerajaan haruslah bersedia mengubah dasar2 lapuk dan menyediakan polisi2 dan pelan rangsangan yang akan memudahkan sektor swasta berkembang dengan lebih pesat dan boleh bergerak jauh ke arena antarabangsa. Sektor swasta kita akan disokong supaya dapat menembusi pasaran antarabangsa dan membawa pulang pendapatan lumayan ke negara kita (barulah patriotik namanya).
Secara peribadi, saya berpuas hati dengan dasar kerajaan mahu mewujudkan Malaysia sebagai hub kewangan islam, hub perniagaan halal dan sebagainya. Maka negara kita memerlukan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing - siapa ? Kitalah.
Jadi ayuhlah….rancanglah masa depan anda dan keluarga anda terutama anak2 anda. Rancanglah masa dengan baik, rancang kewangan anda dengan berkesan, didiklah anak2 kita dengan didikan agama yang sempurna sebab kita tidak mahu modal insan yang hanya hebat di dunia tetapi yang pasti hebat ‘akhirat’nya juga. Biarlah kita atau generasi kita menjadi golongan yang mampu membuat keputusan yang signifikan, bukan hanya menurut kemahuan golongan zionis atau bangsa yang hanya tahu menindas. Apabila kita kukuh ekonomi dan hebat ilmu, bangsa kita akan lebih dihormati dan tidak akan ditindas dan kita mampu memain peranan yang lebih efektif lagi di peringkat antarabangsa. InsyaAllah.
Selamat !
Nota : Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan komen adalah dialu-alukan. Terima kasih.
-
Network Marketing Bakal Meletup
Posted on March 22nd, 2010 2 commentsSalam w.b.t, selamat sejahtera,
Walaupun mempunyai waktu yg agak terhad utk menulis, saya dapat juga meluangkan masa utk buat posting di blog ini. Jikalau pembaca mengikuti posting saya dari awal, anda akan perasan bagaimana saya mula menulis tentang kerjaya makan gaji vs. berniaga…dan kemudian saya ada membuat kupasan tentang membina sesebuah pernigaan malah ada juga kupasan tentang membina kerjaya.
Posting2 itu dibuat semata-mata atas dasar ingin berkongsi pengetahuan dan maklumat terutama buat mereka yang masih muda dan tercari-cari informasi untuk membina perjalanan kehidupan yg semakin mencabar ini.
(Saya baru aje berjaya siapkan kesemua assignment yg telah saya hantar sebelum tarikh akhirnya pada 21 Mac, dan saya harus pula menelaah buku2 untuk menghadapi exam pada penghujung April ini. Tapi oleh kerana jari jemari ini tersangat teringin untuk menulis di wadah inovasi ini…maka saya luangkan sedikit dari masa saya
).Apakah cara untuk memulakan perniagaan ? Saya pernah menulis tentang bagaimana membina perniagaan dengan cara yang ’susah’ di posting saya yg lepas bertajuk Tips Mebina Kerjaya dan Pengalaman dan sekarang saya ingin berkongsi dengan anda cara memulakan perniagaan dengan kos yang rendah dan selamat.
Pasti anda semua pernah dengar tentang MLM. Saya dulu pun memang memandang negatif terhadap MLM. MLM ataupun ‘multilevel marketing’ dikaitkan dengan skim piramid, skim pak man telo dan sebagainya. Tapi hakikatnya bukan kesemua bentuk atau jenis MLM yang berada di pasaran itu tidak bagus. Ada yang betul2 baik dan mempunyai sistem pemasaran yang efektif.
Saya telah membaca sebuah buku yang bertajuk ‘The New Professionals : The Rise of Network Marketing as the Next Major Profession’ yang ditulis oleh 2 orang penulis dari Amerika Syarikat bernama Charles W. King dan James W. Robinson. Charles W. King adalah merupakan seorang konsultan dan professor di University of Illinois, Chicago dan mempunyai pengalaman berpuluh-puluh tahun dalam bidang keusahawanan dan pemasaran. James W. Robinson pula adalah merupakan Senior Vice President di U.S Chamber of Commerce yang merupakan kesatuan perniagaan yang terbesar di dunia mengandungi 3 juta institusi perniagaan kecil dan besar.
Di dalam buku tersebut, kedua-dua penulis ini telah mengenalpasti dan merumuskan bahawa perniagaan MLM atau sekarang dipanggil Network Marketing akan menjadi satu profesion yang bakal meletup dan akan semakin ramai golongan professional menyertai perniagaan ini. Kenapa ? Ini adalah kerana perniagaan ini mempunyai low entry cost serta overhead cost yang paling minimum untuk kita memulakan perniagaan ini. Syarikat marketing network sekarang pula sudah semakin bijak dan sedia melaburkan banyak wang untuk melakukan penyelidikan bagi memastikan kualiti produk2 mereka terjamin.
Jikalau berkesempatan, bacalah buku ini kerana banyak ilmu yang penting untuk kita timba, tentang konsep mencari pendapatan seiring dengan kebebasan masa, dan sebagainya. Yang pasti, semakin manusia menjadi inovatif untuk mencari rezeki, ada juga manusia yang semakin inovatif dengan mengambil kesempatan menipu manusia lain. Hati-hati apabila memilih jenis MLM atau apa2 jua bentuk perniagaan yang menipu, mengelirukan dan tidak menguntungkan peserta. Carilah network marketing yang mempunyai kredibiliti kukuh, produk yang berkualiti, sistem pemasaran dan insentif yang bagus serta bertaraf antarabangsa. InsyaAllah.
Selamat ! Wassalam.
-
Menjadi Jutawan (Melalui Saham) Sangat Dituntut Dalam Islam
Posted on March 13th, 2010 2 commentsSalam w.b.t, salam sejahtera,
Macam-macam perkara baru yang saya lakukan dalam tahun 2010. Salah satunya adalah pelaburan pertama yang saya lakukan dalam bentuk saham di Bursa Malaysia. Sebelum ini saya memang tidak yakin dan terlalu konservatif tentang pelaburan saham. Sebelum ini saya (walaupun kerja bank dah berbelas-belas tahun dan sepatutnya pengetahuan saya sudah cukup luas untuk menilai baik buruk pelaburan saham) sangat meragui pelaburan saham dan menyangka ia adalah suatu bentuk shubahah kepada perjudian. Tapi Alhamdulillah setelah saya melanjutkan pelajaran di INCEIF dan menyelami dasar serta objektif Shariah dalam kewangan serta ekonomi Islam, barulah saya sedar pendangan cetek saya itu tersangat salah.
Dalam Islam, kita dilarang menyimpan wang atau kekayaan dalam keadaan ‘idle’ atau macam kita simpan bawah bantal atau bawah tikar….sebaliknya kita perlu melaburkan kekayaan kita pada jalan yang diperintahkan Allah. Jadi bermakna kita harus melaburkan wang kita untuk menjana lebih kekayaan, yang mana daripada pendapatan yang bertambah itu kita diwajibkan membayar zakat yakni membersihkan pendapatan kita serta menymubang kepada merapatkan jurang antara yang kaya dan yang miskin. Inilah yang dituntut dalam Islam…seperti yang saya pernah tulis dulu, umat Islam cuma akan boleh maju jika kita kaya dan bersatu, serta juga mesti kaya ilmu…barulah umat Islam akan lebih dihormati.
Pelaburan saham adalah antara bentuk pelaburan yang sangat digalakkan dalam Islam. Apabila kita membeli saham sesebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, kita adalah merupakan pelabur yang melabur atas operasi syarikat tersebut. Maka kita terdedah kepada untung atau rugi prestasi syarikat itu. Terdapat syarat2 yang perlu kita lakukan sebelum memilih membeli saham iaitu yang paling utama a dalah dengan melakukan sendiri analisa prestasi syarikat tersebut. Ini selaras dengan konsep ‘al ghorm bil ghonm‘ yang bermaksud tiada keuntungan tanpa pengambilan risiko. Atau dengan bahasa yang biasa kita dengar, “no risk, no return”. Sebagai seseorang yang mampu, adalah wajib untuk kita menambah kekayaan kita dan adalah menjadi satu tanggungjawab untuk kita memastikan pelaburan yang kita pilih adalah selaras dengan Shariah (maksudnya saham yang dibeli mestilah saham/ kaunter yang halal) serta penilaian teliti harus dilakukan supaya kita tidak mengalami kerugian. Setelah itu barulah kita bertawakkal kepada Allah mudah2an dengan niat yang murni kita tidak akan rugi malah mendapat rezeki berlipatkali ganda dan barakah dari Allah SWT. Inilah falsafah pelaburan dalam Islam yang sebenar.
Maka menjadi kaya raya, menjadi millionnaire atau billionnaire adalah sesuatu yang sangat dituntut dalam Islam. Tapi belum tentu semua orang yang kaya itu mampu menangkis godaan yang macam2 bila dah jadi kaya. Kengkadang semakin kaya semakin liat pula seseorang itu hendak mengeluarkan zakat. Mudah2an kita dijauhkan dari segala bentuk maksiat. Amin.
Selamat !
-
Mengenali Tahap Kolesterol Anda
Posted on February 21st, 2010 No commentsSalam wbt, salam sejahtera,
Pada hujung bulan Disember lalu saya ada ke klinik utk buat ujian darah bagi mengetahui tahap kolesterol yg ada pada badan saya ni. Punya lah macam tak percaya sebab walau pun saya ni orangnya kecik tapi berisi - debab lah senang cakap, kolesterol saya sangat tinggi. Bacaan yg diberi ialah 6.7 mmol/L iaitu di tahap bahaya. Baru sekejap tadi terdetik di hati saya untuk menilai bacaan tahap kolesterol saya ini dan saya agak terkesima (betul ke penggunaan bahasa ni) bahawasanya : “Anda mempunyai risiko tinggi untuk mendapat serangan jantung walaupun tiada faktor2 risiko lain (seperti merokok dsb)”. Patutlah saya diberi doktor makan ubat bernama Lipitor….mahal, sekotak RM200 lebih sket. Tapi saya cuma makan untuk tempoh seminggu ajer bilamana saya dinasihatkan oleh kawan baik saya untuk berhenti mengambil Lipitor dan memulakan cara hidup sihat yg baru.
Langkah pertama yg saya lakukan ialah cuba untuk membuang lemak yg bertempek di badan ni…dgn ertikata lain, cuba menurunkan berat badan kepada berat yg lebih ideal. Itu ialah azam tahun baru saya…. dan saya mula mengurangkan makan nasi, lebihkan sayuran dan buahan dan membuat senaman di rumah. Tapi berat badan tak jugak turun2. Secara kebetulan, saya dipertemukan dengan Slimming Diet 2 keluaran New Image dan saya pun mencubanya, bermula tanggal 15 Jan 2010. Alhamdulillah dengan semangat dan azam yg kuat saya berjaya mengikuti nasihat dan saranan dlm program SD 2 dan untuk minggu pertama saya telah berjaya menurunkan berat badan sebanyak 5 kg ! Pada hari ini tanggal 21 Feb 2010, selepas 36 hari mengambil SD 2 saya boleh berbangga sebab saya dah berjaya turun sebanyak hampir 9 kg. Walau pun sudah tidak mengambil SD 2 lagi, saya masih meneruskan amalan pemakanan yg sihat dan mengambil pula Alpha Lipid secara berterusan.
InsyaAllah bulan March ini saya akan kembali semula ke klinik untuk melihat samada paras kolesterol saya turun atau tidak. Mudah2an biarlah turun sampai bacaan 4 (bacaan yg terbaik). Amin……..
Sekian, wassalam.
-
Tips Berkarier Dan Membina Pengalaman
Posted on December 30th, 2009 2 commentsSalam w.b.t semua dan selamat sejahtera,
Lama betul tak buat posting. Saya sebenarnya baru je selesai exams… dan sekarang sibuk plak dengan hobi jahit menjahit. Kelmarin saya berjaya membeli mesin jahit yang saya idam-idamkan…oh, seronoknya !!!! Mesin NV50 jenama Brother yang mempunyai 135 jenis corak jahitan. Tak sabar rasanya nak mulakan projek menjahit.
Nak ikutkan hati mau ajer saya berhenti kerja dan bekerja dari rumah….buat bisnes sendiri. Anak dah empat orang, 2 dah bersekolah dan 2 lagi masih kecil dan memerlukan perhatian. Mungkin saya boleh ambil upah jahit pakaian dan langsir (memang minat menjahit). Tapi bila fikir-fikirkan balik, saya rasa belum bersedia untuk berhenti kerja. Saya sayangkan karier saya serta menfaat dan faedah yang diberi majikan yang tak mungkin saya dapat kalau saya bekerja/ bisnes sendiri.
Selalunya orang akan buat posting tentang betapa manisnya menjadi usahawan, bekerja sendiri, buat bisnes di internet, jual ebook, melibatkan diri dengan pemasaran MLM, dan macam-macam lagi. Yang pasti bukan pasal makan gaji
. Paling tidak pun ada juga posting berkenaan bagaimana cara untuk berhenti kerja dan perkara yang perlu ada sebelum nak bekerja sendiri.Untuk bekerja atau berniaga sendiri bukanlah satu kerja yang mudah. Seseorang itu perlu ada persiapan rapi dari segi material, mental dan spiritual (lain macam jer bunyi nye) serta kena ada ilmu dan pengalaman serta kemahiran yang diperlukan.
Untuk adik-adik yang mahu membina empayar perniagaan sendiri pada suatu masa nanti, nasihat peribadi dari akak adalah sebaiknya haruslah bermula dengan makan gaji dulu. Kalau adik-adik mahu membina sebuah kilang bio-petrokimia…errr, ini contoh aje, akak sengaja bagi contoh cita-cita tahap global
maka yang pertama-tama adik-adik kenalah ambil jurusan yang bersesuaian dan bolehlah mencari pekerjaan di industri-industri yang berkaitan. Apabila kita bekerja dan bermula dari bawah, kita akan kenal ramai orang dan yang penting attitude kita sendiri untuk maju. Jadi bagaimana kita hendak mengoptimumkan pengalaman makan gaji itu untuk membina perniagaan kita ?[1] Kalau makan gaji, orang disekeliling atau rakan sekerja akan faham bahawa kita masih baru dan perlu banyak bimbingan dan dorongan dan rakan-rakan di sekeliling sedia membantu. Syarikat akan menghantar kita pergi berkursus dan semua ditanggung oleh syarikat. Inilah peluang yang sentiasa harus diambil untuk menimba ilmu sebanyak mungkin;
[2] berikan sepenuh dedikasi terhadap kerja dan sentiasa memberi kerjasama dan teamwork sesama rakan sekerja. Tidak salah beralah dan ringan tulang…. lambat laun kualiti kita akan dilihat orang (tanpa perlu menunjuk-nunjuk…tak ikhlas namanya tu). Bila kita menolong orang, suatu hari nanti orang akan tolong kita. Ada banyak ilmu yang tidak boleh kita perolehi dengan cara belajar, ada ilmu yang harus dipelajari melalui kesilapan, atau dengan kita sendiri mengalami dan melakukan perkara tersebut serta belajar dari pengalaman;
[3] Buat orang di sekeliling senang dengan kita, bukannya buat musuh. Merekalah nanti tempat anda mengadu dan minta pertolongan. Jangan cari pasal dengan individu yang boleh menjejaskan kerja dan nama baik anda…jauhi mereka jika boleh dan layan mereka secara profesional.
Banyak lagi kelebihan makan gaji, sebahagiannya pernah saya bincangkan di posting http://parentsbiz.com/inovasiesokblog/kerjaya/bisnes-sendiri-vs-makan-gaji.html .
Apabila kita sudah membina dan memajukan diri dengan ilmu dan pengalaman, bagaimana pula nak berubah ke bidang perniagaan ? Bab yang ni agak complicated dan unik. Ada banyak cara atau peluang yang tidak mustahil untuk diperolehi, ia bergantung pada banyak situasi.
(A) Situasi Pertama
Kita dilahirkan sebagai anak usahawan. Kita bekerja dengan bapa/ ibu sendiri dan setelah beberapa ketika kita mewarisi harta dan perniagaan mereka. Best kan ! Atau pun, mungkin kita berkahwin dengan anak mana-mana tokeh atau taikoon syarikat besar dan kita menjadi menantunya. Macam dalam drama kat tv pulak…..
(B) Situasi Kedua
Kita bekerja dan makan gaji di kilang yang kecil, dan kita dinaikkan pangkat menjadi salah seorang pengarah syarikat. Setelah beberapa lama dan pemilik syarikat telah menaruh kepercayaan pada kita, dia mungkin akan menawarkan saham syarikatnya pada kita. Atau pun, dia menawarkan kita menjadi salah seorang rakan kongsi. Harus diingatkan, bila kita ditawarkan menjadi rakan kongsi atau ditawarkan saham syarikat, pada tahap ini kita haruslah mengeluarkan modal iaitu wang yang diperlukan untuk membeli saham syarikat tersebut. Wang yang diperlukan memang melibatkan jumlah yang besar. Selalunya pinjaman bank dibuat untuk membiayai pembelian saham tersebut.
(C) Situasi Ketiga
Kita bermula sendiri dengan mengumpul modal yang diperlukan. Kita berjumpa dengan agensi-agensi kerajaan seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, MARA dan sebagainya. Kita mengemukakan kertas cadangan strategi perniagaan dan berbincang tentang bantuan kewangan dan sokongan yang boleh diperolehi dari badan-badan terbabit. Bermula dengan syarikat berskala kecil, kita mengorak langkah dengan membina perniagaan secara perlahan-lahan dengan bantuan agensi-agensi ini. InsyaAllah dengan komitmen dan usaha yang bersungguh-sungguh kita boleh mencapai cita-cita membina empayar perniagaan kita sendiri.
Mungkin ada yang kurang senang dengan posting saya ni. Niat saya cuma ingin memberi gambaran yang sebenar dan sekadar berkongsi pengetahuan. Masa zaman saya baru habis belajar dan tercari-cari pekerjaan dan kemudian cuba membina karier sendiri, terlalu kurang ilmu praktikal. Yang ada dalam buku adalah ilmu teori. Terlalu kurang tips-tips yang dikongsi oleh senior-senior di luar sana.
Peluang pekerjaan di luar sana sangat banyak. Ada yang kurang menarik dan ada yang memang lumayan. Bertindak bijaklah dalam memilih karier anda. Semoga berjaya ! Selamat !
-
Korban Era Moden
Posted on November 27th, 2009 No commentsSalam w.b.t, selamat petang…
Hari ini Hari Raya AidilAdha, selamat menyambut hari korban pada semua umat islam. Perut ini masih terasa kenyang dek ketupat, rendang, lontong, ayam masak merah yang menjadi santapan kami sekeluarga….sungguh sedap tak terkata
. Bagi kita, hari raya AidilAdha seolah-olah sama macam hari raya Aidilfitri….makan sedap dan cuti (horehhh……). Kita agak kurang menghayati erti korban yang sebenar.Alhamdulillah….tahun ini kami anak beranak berkesempatan untuk melaksanakan ibadah korban. Nak melakukan korban sekarang agak senang….kita sediakan bayaran kepada masjid dan pihak masjid akan uruskan semua. Sebaiknya kita hadir dan terbabit sama dalam proses penyembelihan itu….lebih afdhal. Saya cuma agak tertarik untuk memperkatakan tentang konsep korban yang lain dari ibadah korban yang biasa dibuat khusus semasa AidilAdha. Korban dalam ertikata kehidupan kita yang sebenar.
Ibadah korban sebenarnya bukanlah setakat ibadah khusus menyembelih binatang tetapi memerlukan kita menghayati dan melaksanakan ibadah korban dalam kehidupan kita seharian. Manusia sekarang sangat kurang ‘berkorban’. Isteri tidak mahu berkorban untuk suami, suami tidak sanggup berkorban dan lebih mahu mempertahankan ego, anak-anak tak sanggup berkorban untuk makbapak dan lebih rela jadi si tanggang moden, ibu mertua tidak sanggup berkorban demi anak menantu, jiran yang tidak sanggup berkorban untuk menjaga hati jiran sebelah, bos yang tak mau berkorban masa serta perhatian untuk memahami keperluan staf dan sebagainya. Manusia sekarang lebih mengutamakan ego, status dan material atau duniawi semata-mata untuk menjadi lebih baik dari orang lain dalam kehidupan dunia yang fana ini. Walhal jika kita bersedia berkorban sedikit wang ringgit, perasaan, mengorbankan ego, beralah dan lebih mengutamakan hati orang lain, kita sendiri akan memperolehi ganjaran pahala dari Allah S.W.T malah Allah akan meninggikan darjat iman kita kepada-Nya.
Kita tidak sedar pahala atau ganjaran yang sangat hebat yang Allah sediakan untuk orang yang mahu melakukan pengorbanan untuk orang lain. Oleh kerana sangat hebat dan besar ganjaran yang Allah mahu berikan kepada hambanya maka Allah mewajibkan kita mengeluarkan zakat kerana zakat itu menuntut suatu pengorbanan. Jika zakat itu tidak diwajibkan atau hanya disunatkan nescaya hamba-hamba-Nya akan sedikit memperolehi nikmat pengorbanan dari ibadah zakat ini. Maha Pengasih Tuhan yang memerintah sekalian Alam…..kita sedia maklum berkat dan faedah yang diperolehi dari ibadah zakat. Bagi yang mengeluarkan zakat, ia menyucikan harta kita, zakat itu tidak meluakkan harta kita sebaliknya Allah akan melipatgandakan harta itu untuk kita dengan barakahNya. Bagi yang menerima zakat seperti golongan miskin, dapatlah wang zakat itu diguna untuk menampung keperluan mereka seadanya.
Inilah kupasan saya tentang korban era moden. Bukan hanya pada ibadah korban khusus (menyembelih binatang) tetapi korban wang, hati, jiwa dan perasaan yang sangat dituntut dalam zaman ini. Tak ramai yang sanggup melakukan pengorbanan yang ini. Masing-masing mementingkan ego, pangkat dan kedudukan masing-masing. Yang kaya mahu lagi kaya. Yang sudah berpangkat mahu lebih pangkat.
Selamat !
Wassalam.
-
Fahami Erti Kekayaan Sebenar
Posted on October 21st, 2009 2 commentsSalam, selamat pagi,
Tiada siapa yang akan kata dia tak mahu kaya, semua orang nak kaya. Ada yang meletakkan usaha yang bersungguh-sungguh, ada yang cukup makan jer, pokok pangkal memang ramai yang nak jadi kaya.
Saya ? Bohonglah kalau saya kata saya tak nak jadi kaya. Memang nak sangat jadi kaya supaya boleh tolong orang yang kurang upaya
…insyaAllah.Kekayaan tidak boleh diukur dengan nilai wang ringgit semata-mata. Kita tidak sepatutnya lihat pada berapa networth seseorang itu, walaupun pada hakikatnya networth ini dijadikan kayu pengukur. Pada pendapat saya, networth ini hanya sesuai dijadikan kayu pembaris pengukur bagi individu-individu yang banyak membuat pelaburan dan pada masa yang sama, banyak hutang ! Mereka ada hartanah, saham, ekuiti yang bersepah-sepah yang pada masa yang sama aset-aset ini ditampung oleh hutang yang diurus dengan baik. Untuk orang macam kita ni, ada kayu pembaris pengukur yang lebih bagus !
Definisi kekayaan yang sebenar bagi individu biasa seperti kita adalah berapa simpanan yang kita ada dan mampu kita sediakan untuk hari tua. Bagi yang agak advanced dan pandai melabur, ia diukur dengan melihat berapa simpanan bersih dicampur keuntungan yang kita dapat hasil dari pelaburan tersebut.
Jadi istilah kekayaan banyak berkaitrapat dengan sifat dan gaya hidup kita. Adakah mereka yang berkereta mewah, rumah banglo besar semestinya kaya ? Apa guna bergaya hidup mewah kalau simpanan yang ada hanya berapa ringgit, dan kesemua kemewahan ditanggung dengan kad kredit dan hutang ?
Jadi secara ringkasnya untuk lebih jadi kaya, kita mestilah meningkatkan simpanan kita. Melabur ? Ya, itu satu cara dengan syarat kita mesti ada ilmu sebelum menceburi bidang pelaburan. Islam sangat-sangat menggalakkan aktiviti pelaburan yang semestinya mengikut prinsip shariah. Hanya melalui aktiviti perniagaan dan pelaburan umat islam boleh lebih berdaya maju dan kukuh.
Satu cara lagi ialah dengan mengubah gaya hidup kita. Ini sangat-sangatlah subjektif dan saya akui memang mencabar untuk kita tidak terikut-ikut dengan perkembangan semasa. Orang ada blackberry, iPhone…kita nak gak, orang beli ebook, kita pun nak beli (he3x)…tapi cuba tengok balik, betul-betul ke kita perlukan benda-benda nih ? Adakah benda-benda ni tergolong dalam kategori barang keperluan asas (kalau takde maknanya tak boleh hidup), barang kegunaan (ada atau takde masih boleh hidup tapi kalau ada boleh membantu aktiviti rutin seharian) atau kategori barang gaya hidup semata-mata ?
Berjimat cermatlah dalam berbelanja dan jalani hidup dengan tenang, jangan terikut-ikut orang di sekeliling…teruskan menabung dan jana pendapatan anda supaya tabungan terus meningkat. Inilah makna kekayaan yang sebenar…
Wassalam. Selamat !
-
Mengasingkan Emosi Negatif
Posted on September 1st, 2009 2 commentsSalam w.b.t, salam sejahtera,
Sejak beberapa hari lepas, saya berdepan dengan bermacam-macam kejadian yang ‘menganggu’ emosi saya. Hee…macam-macamlah, malas nak sebut. Cuma saya berfikir, alangkah bagusnya kalau kita betul-betul boleh mengasingkan dan meletakkan kesemua emosi-emosi yang negatif itu ketepi.
Ya, apakah maksud ‘mengasingkan emosi’ atau in English, put the emotions aside….. ? Yang ni pada saya satu perkara yang senang cakap, tapi paling susah nak buat terutama bagi kaum hawa yang memang terkenal seantero dunia insan yang penuh beremosi.
Anda pernah dengar tak Prinsip 90/10 yang diilhamkan Steven Covey ? Yang mengatakan 90% daripada apa yang berlaku dalam hidup kita adalah berdasarkan reaksi dan kawalan kita kita sendiri samada secara rasional atau tidak, manakala hanya 10% perkara yang berlaku dalam hidup kita adalah berdasarkan perkara luar kawalan kita. Pada pendapat saya, prinsip ini sangat praktikal dan menepati ciri qada’ dan qadar dalam Islam. Ia menuntut kita berdoa dan bertawakkal kepada Tuhan selain dari berusaha mengurus kehidupan seharian sebaik mungkin.
Tapi yang sebenar-benarnya yang banyak ‘mengganggu’ kita dalam tindak tanduk kita seharian adalah tidak lain dan tidak bukan….emosi kita sendiri. Contoh-contoh emosi memang banyak, anda sendiri boleh buatkan senarai untuk saya :) …. ada yang positif dan ada yang negatif, yang negatif adalah seperti emosi sedih berpanjangan dan melampau, marah meluap-luap, marah melenting, geram, kecewa, benci, risau, bimbang, gabra dan sebagainya.
Jadi bila kita hendak berfikir dan mengambil tindakan secara waras, perkara pertama yang perlu kita lakukan adalah dengan ‘mengeluarkan’ emosi negatif kita itu, atau campak jauh-jauh emosi negatif kita tu dulu…barulah kita boleh berfikir secara rasional dan tenang. Bagi diri saya dan kebanyakan orang juga, yang nak ‘mengeluarkan’ emosi negatif dan campak jauh-jauh itulah yang susah. Tapi yang ni kena selalu latih diri sendiri dan mesti kena banyak sabar. Bila dah boleh buat yang ini, insyaAllah hidup kita akan lebih berjaya dan bermakna. Kawan-kawan pun ramai, rezeki pun bertambah…malah aura wajah dan diri kita pun semakin memancar-mancar berseri-seri. Tak payah nak susah-susah beli aura seri atau pergi ke spa mahal-mahal.
Bagi diri saya hamba yang kerdil ini, bila marah atau geram, saya akan tarik nafas dalam-dalam dan buat-buat sibuk…untuk lupakan benda yang mendatangkan marah tu. Kalau tak hilang jugak, bawak sembahyang atau tido, atau nak cepat….share dengan rakan terdekat untuk hilangkan tension. Bila rasa-rasa dah boleh nak berfikir secara lebih waras, barulah saya mengambil tindakan yang bersesuaian dan pada masa yang sesuai. Susun strategi dulu, skrip drama mana-mana yang patut dan target tempat dan masa yang sesuai untuk bertindak. Menarik kan !
Selamat !






















Recent Comments