-
Fahami Erti Kekayaan Sebenar
Posted on October 21st, 2009 2 commentsSalam, selamat pagi,
Tiada siapa yang akan kata dia tak mahu kaya, semua orang nak kaya. Ada yang meletakkan usaha yang bersungguh-sungguh, ada yang cukup makan jer, pokok pangkal memang ramai yang nak jadi kaya.
Saya ? Bohonglah kalau saya kata saya tak nak jadi kaya. Memang nak sangat jadi kaya supaya boleh tolong orang yang kurang upaya
…insyaAllah.Kekayaan tidak boleh diukur dengan nilai wang ringgit semata-mata. Kita tidak sepatutnya lihat pada berapa networth seseorang itu, walaupun pada hakikatnya networth ini dijadikan kayu pengukur. Pada pendapat saya, networth ini hanya sesuai dijadikan kayu pembaris pengukur bagi individu-individu yang banyak membuat pelaburan dan pada masa yang sama, banyak hutang ! Mereka ada hartanah, saham, ekuiti yang bersepah-sepah yang pada masa yang sama aset-aset ini ditampung oleh hutang yang diurus dengan baik. Untuk orang macam kita ni, ada kayu pembaris pengukur yang lebih bagus !
Definisi kekayaan yang sebenar bagi individu biasa seperti kita adalah berapa simpanan yang kita ada dan mampu kita sediakan untuk hari tua. Bagi yang agak advanced dan pandai melabur, ia diukur dengan melihat berapa simpanan bersih dicampur keuntungan yang kita dapat hasil dari pelaburan tersebut.
Jadi istilah kekayaan banyak berkaitrapat dengan sifat dan gaya hidup kita. Adakah mereka yang berkereta mewah, rumah banglo besar semestinya kaya ? Apa guna bergaya hidup mewah kalau simpanan yang ada hanya berapa ringgit, dan kesemua kemewahan ditanggung dengan kad kredit dan hutang ?
Jadi secara ringkasnya untuk lebih jadi kaya, kita mestilah meningkatkan simpanan kita. Melabur ? Ya, itu satu cara dengan syarat kita mesti ada ilmu sebelum menceburi bidang pelaburan. Islam sangat-sangat menggalakkan aktiviti pelaburan yang semestinya mengikut prinsip shariah. Hanya melalui aktiviti perniagaan dan pelaburan umat islam boleh lebih berdaya maju dan kukuh.
Satu cara lagi ialah dengan mengubah gaya hidup kita. Ini sangat-sangatlah subjektif dan saya akui memang mencabar untuk kita tidak terikut-ikut dengan perkembangan semasa. Orang ada blackberry, iPhone…kita nak gak, orang beli ebook, kita pun nak beli (he3x)…tapi cuba tengok balik, betul-betul ke kita perlukan benda-benda nih ? Adakah benda-benda ni tergolong dalam kategori barang keperluan asas (kalau takde maknanya tak boleh hidup), barang kegunaan (ada atau takde masih boleh hidup tapi kalau ada boleh membantu aktiviti rutin seharian) atau kategori barang gaya hidup semata-mata ?
Berjimat cermatlah dalam berbelanja dan jalani hidup dengan tenang, jangan terikut-ikut orang di sekeliling…teruskan menabung dan jana pendapatan anda supaya tabungan terus meningkat. Inilah makna kekayaan yang sebenar…
Wassalam. Selamat !
-
Perkara Asas Yang Anda Perlu Tahu Tentang Kredit dan Mengurus Kredit
Posted on August 30th, 2009 No commentsSalam w.bt., selamat sejahtera semua !
Bulan Ramadhan yang mulia telah pun sama-sama kita raikan dengan menjalani ibadah berpuasa, jadi saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa dengan penuh takwa buat pelawat budiman semua.
Dalam hidup kita ini, kita memang tidak dapat lari dari berhutang. Anda tak percaya ? Lahir-lahir aje kita ke dunia ni, kita dah mula berhutang…berhutang dengan siapa ? Siapa lagi kalau bukan ibu dan ayah kita. Pada mereka yang sudah menjadi ibu dan ayah, pasti anda faham apa yang saya maksudkan. Banyak betul pengorbanan ibu dan ayah buat kita….maka memanglah layak dan menjadi hak mereka untuk kita lunaskan segala ‘hutang-hutang’ tersebut.
Pada hakikatnya kita semua tidak perlu diajar tentang bagaimana berhutang. Bagi hutang yang bukan bersifat material, sifat nak ‘berhutang’ itu datang secara semulajadi dan kebetulan, contohnya apabila kita berhutang budi, berhutang nyawa (yang ini pun ada ?) dan sebagainya. Tapi bagaimana pula dengan hutang duit ?? Hutang barang ?
Memperkatakan hutang duit, kita tidak dapat lari dari memperkatakan tentang Pengurusan Kredit. Apa itu Kredit ? Kenapa perlu kita mengurus kredit ? Adalah perlu untuk setiap individu itu mengetahui apa itu kredit sebelum mereka memasang niat untuk berhutang, atau dengan kata lembutnya, sebelum kita membuat sebarang bentuk pinjaman.
Kredit itu sendiri bermaksud hutang. Sesuatu yang perlu dibayar semula berdasarkan tempoh dan amaun yang dipersetujui. Dari sudut konvensional, ada bunga yang ditambah atas nilai pokok - yang ni dipanggil riba dalam Islam. Dari sudut pandangan Islam, riba hukumnya haram dan dalam Islam, pinjaman wang sepatutnya dibuat mengikut konsep Qard Hasan… yakni tiada unsur riba, bunga atau lebihan yang berbentuk menindas si peminjam. Qard Hasan adalah berlandaskan ehsan dan bahawasanya setiap amalan baik akan diberi ganjaran yang berlipatkali ganda (apabila dalam situasi si peminjam betul-betul tidak dapat atau tidak mampu melunaskan hutang walaupun dia telah berusaha bersungguh-sungguh). Qard Hasan juga adalah sebahagian bentuk pengagihan kekayaan oleh orang kaya kepada orang miskin selain daripada zakat, wakaf dan sadaqah.
Berbalik soal mengurus kredit, mudah saja….setelah kita tahu maksud kredit itu, prinsip yang pertama-tamanya yang perlu seseorang individu itu tau ialah sejauh mana tahap kemampuannya berhutang, iaitu dengan mengetahui sejauh mana kemampuannya membayar balik. Untuk membayar balik hutang, mestilah tau sejauh mana kemampuan untuk menjana pendapatan masa depan yang boleh diguna untuk melunaskan hutang, samada cukup atau tidak. Kemudian barulah boleh masuk fasa berhutang (atau buat loan sana sini, ambik kad kredit sana sini dan sebagainya) serta belajar mengurus kredit. Ada juga segelintir individu yang tidak mengkaji tahap kemampuan yang disebutkan sebelum mereka membuat pinjaman, “redah je lah..”, ada yang mempunyai pengetahuan sikit-sikit dan survive … dan tak kurang juga yang tidak bernasib baik. Harus diingat, kalau kita bernasib baik, impact dari masalah kewangan yang bakal dihadapi mungkin tidak berapa dirasai, tetapi bagi mereka yang tidak bernasib baik…impact atau natijah yang bakal dihadapi adalah sangat besar sehingga boleh membawa kepada kebankrapan, kes bunuh diri, kena kejar dengan along dan sebagainya.
Okaylah…rasanya cukup setakat ini dulu perbincangan kita. Sebenarnya apa yang saya sebutkan sebentar tadi adalah perkara paling asas aje…buat mereka atau adik-adik yang masih belum jelas tentang perkara berkaitan kredit. Ingatlah ya, kalau nak menggunakan kad kredit haruslah berhati-hati…memang kad kredit boleh membantu kita dalam menangani beban kewangan sehari-hari tapi kalau kita silap langkah ia boleh menjerut diri kita sendiri.
InsyaAllah bila ada kelapangan lagi nanti saya akan ceritakan bagaimana untuk kita selidiki sejauh mana kemampuan diri kita untuk menjana pendapatan masa depan yang boleh diguna untuk melunaskan hutang. Yang ni agak teknikal sikitlah
.Wassalam, selamat !
-
Melancong ke Sabah - Tips Untuk Merancang Bajet
Posted on June 17th, 2009 7 commentsSalam dan selamat sejahtera semuanya,
Kali ini saya ingin berkongsi pengetahuan dan sedikit pengalaman dengan anda semua. Oh ya, minggu lepas saya telah membawa keluarga bercuti ke Sabah. Hmmm…dah lama saya berhajat nak cuti-cuti mesia ke sana….akhirnya tercapai juga.
Saya pasti pada anda yang kemampuan kewangan tahap ‘ala-kadar’ macam saya, sudah tentu ada keinginan untuk melancong dan bercuti bersama keluarge tapi poket tak berapa mengizinkan. Jadi untuk ini saya ingin berkongsi beberapa tips yang saya rasa akan dapat membantu anda sedikit sebanyak dalam merealisasikan hajat untuk melancong. Bagi menerangkan tips ini saya akan mengambil contoh perancangan bajet saya sendiri apabila merancang percutian ke Sabah minggu lepas.
Yang pertama, tulis dengan jelas lokasi idaman anda itu pada kertas….sebaik-baiknya satu buku nota khas. Tulis apa agenda percutian tersebut, siapa yang anda akan bawa dan anggaran perbelanjaan (kesemuanya, bermula keluar rumah..sampailah balik semula ke rumah). Contoh seperti berikut :
Lokasi Percutian : Kota Kinabalu, Sabah (4 hari, 3 malam)
Agenda : Shopping (sourvenir,gelang pearl), melawat ke kaki gunung, snorkeling kat Pulau Manukan, etc
Anggota : 4 Dewasa, 3 kanak-kanak, seorang bayi
Anggaran kesemua kos : RM10,000.00
Bergantunglah pada anda untuk menabung dan tunggu sampai simpanan anda mencecah angka tersebut, atau bagi yang berkelayakan untuk buat pembiayaan peribadi, bolehlah buat pinjaman dengan syarat mampu untuk bayar semula. Anggaran kos ini mestilah anggaran kasar yang dibuat….sebab nanti anda akan buat bajet yang terperinci pulak.
Langkah kedua, berdasarkan agenda yang anda tulis, cuba fikirkan apa aktiviti atau ‘itinerary’ yang anda mahu. Nak senang, anda boleh lawat mana-mana website agensi perlancongan yang menawarkan pakej perlancongan ke tempat yang anda tuju beserta dengan harga pakej sekali. Contoh :
ABC Travel & Tour Sdn Bhd : Pakej Percutian 4 hari 3 malam ke Kota Kinabalu, Sabah; Price per pax RM1,252 for adult and RM952 for kid (Infant RM100), ; Itinerary : [Day 1 - pick up from airport (flight AirAsia) and check-in at hotel, shopping at Filipino market], [Day 2 - Proceed to Nabalu and Kinabalu Park, visit Kundasang market, Poring hot spring, lunch at Ranau town], [Day 3 - Proceed for island hopping, snorkelling at Manukan, Mamutik and Sapi islands] and [Day 4 - free & easy and check out and proceed to airport].
Langkah yang ketiga, apa yang saya lakukan, saya telah pilih satu pakej perlancongan yang bersesuaian dengan agenda saya (seperti contoh di atas) dan saya terus hubungi agen tersebut. Haa…yang ni sangat penting untuk perancangan bajet anda. Pada langkah ini bagi mereka yang takde masalah kewangan dan takde masa nak fikir dan sibuk, mereka akan terus suruh agen perlancongan yang uruskan segala-galanya. Bagi saya pula apa yang saya lakukan, saya minta quotation harga daripada agen untuk pakej keseluruhan (termasuk flight, penginapan, makan minum dan pengangkutan). Daripada quotation tersebut saya akan ubahsuai mengikut citarasa saya hinggalah saya dapat bajet yang sesuai dengan kemampuan/ kewangan saya. Seperkara yang penting, merancang awal adalah lebih baik sebab kita sebenarnya boleh menjimat banyak wang dari segi kos penerbangan kerana sememangnya syarikat penerbangan seperti AirAsia dan MAS memang ada menawarkan pakej-pakej diskaun kepada mereka yang menempah tiket awal.
Setelah menilai dan menimbang banyak perkara, akhirnya saya buat keputusan untuk uruskan sendiri soal penerbangan, book sendiri hotel dan uruskan makan dan minum sendiri di sana (kecuali sarapan pagi sebab disediakan oleh hotel). Memandangkan suami kakitangan kerajaan, dapatlah diskaun sket untuk hotel. Untuk tempah penerbangan pulak tak susah sebab boleh buat online semuanya. Pihak agensi perlancongan tu bagus, sangat profesional dan sanggup melayan kerenah saya yang terlalu banyak bertanya (sebab saya ni cerewet orangnya
). Akhirnya saya cuma minta agensi tersebut uruskan soal pengangkutan di sana untuk aktiviti seperti yang ada di dalam itinerary.Jadi di sini daripada harga keseluruhan asal berjumlah RM7,964 (untuk pakej keseluruhan yang disedia oleh agensi perlancongan), saya telah mendapat penjimatan sebanyak RM560 setelah membuat perubahan seperti yang saya sebutkan (kalau saya merancang lebih awal, mungkin dapat jimat lebih lagii….oleh kerana perancangan dibuat hanya dalam masa sebulan maka kos tiket penerbangan seperti yang disebut dibawah adalah agak tinggi sebenarnya). Perincian bajet selepas perubahan adalah seperti berikut :
Kos penerbangan (keseluruhan) : RM4,554
Kos penginapan : RM1,210
Charter service : RM1,000
Bot & alatan snorkeling dan entrance fees : RM340
Makan minum : RM300
Kos keseluruhan : RM7,404
[Tak termasuk shopping. Anggaran kos untuk shopping RM1,300. Maka kos (berdasarkan bajet terperinci) kesemuanya ialah RM8,704 .... masih kurang dari anggaran kasar kos sebanyak RM10,000 !!]
Walaupun mengikut pengiraan di atas saya cuma jimat RM560, tetapi kalau diikutkan saya boleh jimat lebih banyak lagi. Ini kerana mengikut quotation asal flight yang disediakan ialah AirAsia. Saya pulak oleh kerana saya bawak mak dan pembantu rumah serta anak kecik saya terpaksalah saya memilih MAS, walau pun bayar lebih sedikit tapi memang lebih selesa berbanding AirAsia. Bot untuk aktiviti island hopping pulak kami sewa satu bot khas untuk keluarga kami saja…dan bayar lebih sedikit untuk itu. Kesimpulannya walaupun saya telah memilih MAS dan bot sewaan khas yang lebih mahal…saya masih lagi jimat sebanyak RM560. Memang berbaloi !!
Jadi bolehlah saya ringkaskan di sini tips untuk merancang bajet percutian anda adalah seperti berikut :-
Langkah Satu - Rancang dengan jelas percutian anda (lokasi, agenda, bilangan peserta, anggaran kos keseluruhan)…lebih awal merancang, lebih banyak anda boleh berjimat;
Langkah Dua - Fikirkan aktiviti yang anda mahu bersesuaian dengan agenda anda;
Langkah Tiga - Bila dah ada itinerary, buat bajet terperinci. Ubah quotation asal pakej dan berurusanlah dengan agensi perlancongan yang anda selesa berurusan. Buat bajet terperinci dengan berhati-hati dengan mengambilkira setiap aktiviti yang anda akan lakukan, bertepatan dengan kehendak dan keselesaan anda.
Perkara yang paling penting yang saya belajar dari kesilapan saya ialah, pastikan setiap pertanyaan atau kemahuan anda dibuat bertulis (melalui email). Jika anda seorang yang begitu menepati masa, anda mungkin mahu agen itu pastikan van yang menjemput anda itu datang tepat pada masanya; jikalau anda mahukan tour guide (yang bukan setakat jadi driver tapi berkemampuan untuk memberi informasi untuk anda sepanjang perjalanan) …minta supaya dipenuhi kehendak anda. Jangan andaikan kesemua itu akan tersedia. Ini penting untuk mengelakkan segala salah faham yang mungkin timbul antara anda dengan agen anda.
Lagi satu yang penting, berhati-hati memilih agen perlancongan. Pilih syarikat yang kukuh, sudah lama beroperasi dan berpengalaman. Sebagai agen, perkhidmatan yang bakal diberi adalah berdasarkan amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh kita sebagai pelanggan. Jadi carilah agen yang boleh dipercayai dan jujur. Percaya pada gerak hati anda sekiranya anda tercium sesuatu yang tidak kena bila berurusan dengan agen yang ada niat nak menipu duit anda !
Itulah saja perkongsian buat kali ini. Diharap dapat membantu anda. Selamat !
-
Jana Kekayaan Cara Mudah, Cepat dan Tanpa Modal !
Posted on March 15th, 2009 No commentsSalam w.b.t dan selamat sejahtera..
Wah, lama jugak saya tak buat posting…memang hasrat hati nak menulis di sini tapi disebabkan komitmen pada assignment, terpaksalah ditunda.
Semua orang nak jadi kaya kan ? Sebolehnya mereka akan google di internet untuk dapatkan maklumat macamanalah nak jadi kaya dengan cara mudah, cepat dan kalau boleh tak payah keluar modal langsung.
Saya pasti kalau ada yang singgah di blog saya ini disebabkan tadi mereka google “kaya+cepat+mudah” (lebih kurang gitulah keyword nya) di search engine kerana mahukan tips seperti yang saya sebutkan.
Nak jadi kaya memang sangat-sangat senang, rules atau syarat-syaratnya :
Syarat pertama : Jangan ukur kekayaan dengan wang ringgit atau ukuran matawang lain kerana orang paling kaya di dunia ini bukanlah diukur dari nilai RM, USD, EURO, Pound Sterling dan sebagainya tetapi diukur dari segi nikmat yang diperolehi. Dah baca posting saya sebelum ini, Nikmat yang Bukan Percuma ? Apalah gunanya kekayaaan tapi tak dapat mengecapi nikmat kehidupan, tak dapat tidur lena, ada penyakit itu dan ini, hutang keliling pinggang dan sebagainya. Yang penting apakah definasi anda tentang kekayaaan itu.
Memang tak dinafikan, semua orang nak hidup senang. Saya sendiri kalau boleh nak jadi jutawan dan nak lebih banyak wang dari sekarang (eh, sekarang ni banyak wang ke ?? Tak pun
). Saya percaya oleh kerana zat Allah S.W.T yang maha pengasih dan penyayang selalunya cita-cita kita akan dimakbulkan jika kita berusaha dengan bersungguh-sungguh. Tapi adakah cukup dengan bercita-cita sahaja, adakah kita terfikir tanggungjawab yang datang bersama-sama kekayaan itu ?Syarat kedua : Hati mesti mau bersih…kalau hati kotor, wang dalam tangan satu juta ringgit pun kita akan rasa kita masih miskin. Sebab apa ? Nikmat satu juta ringgit itu tidak ada… Orang miskin tapi hatinya baik dan jujur, wang satu ringgit pun bukan main hebat nikmatnya.
Syarat ketiga : Berbuat baik pada ibu bapa dan selalu doakan mereka. Orang yang sanggup melapangkan masa dan mengeluarkan kudrat untuk ibubapa mereka, maka Allah akan melapangkan rezeki untuk mereka.
Syarat keempat : Yang ni mungkin susah sikit tapi hukumnya wajib…iaitu kena tunaikan tanggungjawab kita pada Tuhan yang Satu. Tunaikan rukun islam terutamanya solat lima waktu, puasa dan bayar zakat.
Dan yang terakhir, syarat untuk melipatgandakan kekayaan ialah dengan cara mengeluarkan zakat serta bersedekah. Tidak ada apa-apa rahsia yang perlu dibongkar…inilah senjata yang sebenar-benarnya. Zakat yang kita keluarkan atau sedekah yang dihulur bukanlah modal dari segi literal (modal dari sudut literal ialah sesuatu yang dikeluarkan atau dilaburkan yang akhirnya menjana keuntungan atau mungkin mendatangkan kerugian) tetapi adalah suatu kewajipan. Zakat yang dikeluarkan tidak akan meluakkan kekayaan kita malah menyucikan harta yang kita ada kerana bukan 100% harta dan wang ringgit itu milik kita. Bila harta kita suci maka akan lebih berkatlah rezeki yang kita nikmati maka bertambahlah rahmat dalam kehidupan kita. Inilah erti kekayaan yang sebenarnya.
Sebagai renungan kita bersama, akhirnya sama-samalah kita lihat balik motif kita untuk jadi kaya. Seharusnya kita melihat kekayaan itu bukan untuk kesenangan diri sendiri tetapi juga kesenangan untuk orang lain yang lebih memerlukan. Renungilah firman Allah S.W.T yang berikut :
“Kecelakaan besar bagi mereka yang mencaci dan mengeji, yang mengumpulkan harta serta menghitung-hitung kekayaan, ia beranggapan bahawa harta kekayaan dapat mengekalkannya di dunia, tidak sekali-kali; sesungguhnya ia akan dicampakkan ke dalam neraka yang bernama Hutamah” (Surah Al Humazah, ayat 1-4)
Saya yakin, kalau anda mengikuti tips yang saya berikan di sini insyaallah anda akan beroleh kekayaan yang anda impikan. Bila dah jadi hartawan yang dermawan, jangan lupa kongsikan tips kejayaan anda dengan saya. Selamat !




















Recent Comments