-
Mengenali Tahap Kolesterol Anda
Posted on February 21st, 2010 No commentsSalam wbt, salam sejahtera,
Pada hujung bulan Disember lalu saya ada ke klinik utk buat ujian darah bagi mengetahui tahap kolesterol yg ada pada badan saya ni. Punya lah macam tak percaya sebab walau pun saya ni orangnya kecik tapi berisi - debab lah senang cakap, kolesterol saya sangat tinggi. Bacaan yg diberi ialah 6.7 mmol/L iaitu di tahap bahaya. Baru sekejap tadi terdetik di hati saya untuk menilai bacaan tahap kolesterol saya ini dan saya agak terkesima (betul ke penggunaan bahasa ni) bahawasanya : “Anda mempunyai risiko tinggi untuk mendapat serangan jantung walaupun tiada faktor2 risiko lain (seperti merokok dsb)”. Patutlah saya diberi doktor makan ubat bernama Lipitor….mahal, sekotak RM200 lebih sket. Tapi saya cuma makan untuk tempoh seminggu ajer bilamana saya dinasihatkan oleh kawan baik saya untuk berhenti mengambil Lipitor dan memulakan cara hidup sihat yg baru.
Langkah pertama yg saya lakukan ialah cuba untuk membuang lemak yg bertempek di badan ni…dgn ertikata lain, cuba menurunkan berat badan kepada berat yg lebih ideal. Itu ialah azam tahun baru saya…. dan saya mula mengurangkan makan nasi, lebihkan sayuran dan buahan dan membuat senaman di rumah. Tapi berat badan tak jugak turun2. Secara kebetulan, saya dipertemukan dengan Slimming Diet 2 keluaran New Image dan saya pun mencubanya, bermula tanggal 15 Jan 2010. Alhamdulillah dengan semangat dan azam yg kuat saya berjaya mengikuti nasihat dan saranan dlm program SD 2 dan untuk minggu pertama saya telah berjaya menurunkan berat badan sebanyak 5 kg ! Pada hari ini tanggal 21 Feb 2010, selepas 36 hari mengambil SD 2 saya boleh berbangga sebab saya dah berjaya turun sebanyak hampir 9 kg. Walau pun sudah tidak mengambil SD 2 lagi, saya masih meneruskan amalan pemakanan yg sihat dan mengambil pula Alpha Lipid secara berterusan.
InsyaAllah bulan March ini saya akan kembali semula ke klinik untuk melihat samada paras kolesterol saya turun atau tidak. Mudah2an biarlah turun sampai bacaan 4 (bacaan yg terbaik). Amin……..
Sekian, wassalam.
-
Korban Era Moden
Posted on November 27th, 2009 No commentsSalam w.b.t, selamat petang…
Hari ini Hari Raya AidilAdha, selamat menyambut hari korban pada semua umat islam. Perut ini masih terasa kenyang dek ketupat, rendang, lontong, ayam masak merah yang menjadi santapan kami sekeluarga….sungguh sedap tak terkata
. Bagi kita, hari raya AidilAdha seolah-olah sama macam hari raya Aidilfitri….makan sedap dan cuti (horehhh……). Kita agak kurang menghayati erti korban yang sebenar.Alhamdulillah….tahun ini kami anak beranak berkesempatan untuk melaksanakan ibadah korban. Nak melakukan korban sekarang agak senang….kita sediakan bayaran kepada masjid dan pihak masjid akan uruskan semua. Sebaiknya kita hadir dan terbabit sama dalam proses penyembelihan itu….lebih afdhal. Saya cuma agak tertarik untuk memperkatakan tentang konsep korban yang lain dari ibadah korban yang biasa dibuat khusus semasa AidilAdha. Korban dalam ertikata kehidupan kita yang sebenar.
Ibadah korban sebenarnya bukanlah setakat ibadah khusus menyembelih binatang tetapi memerlukan kita menghayati dan melaksanakan ibadah korban dalam kehidupan kita seharian. Manusia sekarang sangat kurang ‘berkorban’. Isteri tidak mahu berkorban untuk suami, suami tidak sanggup berkorban dan lebih mahu mempertahankan ego, anak-anak tak sanggup berkorban untuk makbapak dan lebih rela jadi si tanggang moden, ibu mertua tidak sanggup berkorban demi anak menantu, jiran yang tidak sanggup berkorban untuk menjaga hati jiran sebelah, bos yang tak mau berkorban masa serta perhatian untuk memahami keperluan staf dan sebagainya. Manusia sekarang lebih mengutamakan ego, status dan material atau duniawi semata-mata untuk menjadi lebih baik dari orang lain dalam kehidupan dunia yang fana ini. Walhal jika kita bersedia berkorban sedikit wang ringgit, perasaan, mengorbankan ego, beralah dan lebih mengutamakan hati orang lain, kita sendiri akan memperolehi ganjaran pahala dari Allah S.W.T malah Allah akan meninggikan darjat iman kita kepada-Nya.
Kita tidak sedar pahala atau ganjaran yang sangat hebat yang Allah sediakan untuk orang yang mahu melakukan pengorbanan untuk orang lain. Oleh kerana sangat hebat dan besar ganjaran yang Allah mahu berikan kepada hambanya maka Allah mewajibkan kita mengeluarkan zakat kerana zakat itu menuntut suatu pengorbanan. Jika zakat itu tidak diwajibkan atau hanya disunatkan nescaya hamba-hamba-Nya akan sedikit memperolehi nikmat pengorbanan dari ibadah zakat ini. Maha Pengasih Tuhan yang memerintah sekalian Alam…..kita sedia maklum berkat dan faedah yang diperolehi dari ibadah zakat. Bagi yang mengeluarkan zakat, ia menyucikan harta kita, zakat itu tidak meluakkan harta kita sebaliknya Allah akan melipatgandakan harta itu untuk kita dengan barakahNya. Bagi yang menerima zakat seperti golongan miskin, dapatlah wang zakat itu diguna untuk menampung keperluan mereka seadanya.
Inilah kupasan saya tentang korban era moden. Bukan hanya pada ibadah korban khusus (menyembelih binatang) tetapi korban wang, hati, jiwa dan perasaan yang sangat dituntut dalam zaman ini. Tak ramai yang sanggup melakukan pengorbanan yang ini. Masing-masing mementingkan ego, pangkat dan kedudukan masing-masing. Yang kaya mahu lagi kaya. Yang sudah berpangkat mahu lebih pangkat.
Selamat !
Wassalam.
-
Bala & Bencana Masa Kini - Balasan Maha Pencipta
Posted on October 15th, 2009 2 commentsSalam,
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
Melihat kejadian alam, bala dan bencana yang menimpa baru-baru ini, kita seharusnya insaf…mengapa kita terselamat dari bala dan bencana ini, mengapa ada golongan yang menanggung sengsara dan ada golongan lain lagi yang masih boleh tidur lena di katil empuk…. adakah ini menunjukkan Tuhan itu tidak adil (astagfirullah)…???
Saya sedih betul melihat azab dan kesedihan yang ditanggung rakan seagama kita di Padang, Sumatera Barat…takziah buat mereka yang kehilangan saudara dan keluarga di sana dalam kejadian gempa bumi yang melanda 2 minggu lepas.
Apakah mereka yang sedang diulit kenikmatan…makan yang enak, tidur yang lena, rumah yang besar dan wang yang banyak ini harus membiarkan diri mereka terus lena dan leka hinggalah sampai bala pada kita baru kita nak tersedar (na’uzubillah) ?
“Ya Allah…sedangkan azab di dunia ini tidak mampu kami tanggung, apatah lagi azab neraka-Mu, maka ampunilah kami Ya Allah….ampunkan kami yang selalu lalai dalam tanggungjawab kami, selamatkanlah kami dan tunjukilah kami jalan-Mu yang benar lagi lurus, tetapkanlah iman kami….satukanlah hati-hati kami, kuatkanlah agama dan bangsa kami, bantulah kami dalam melaksanakan tanggungjawab kami dengan sempurna….Amin, ya Rabbal ‘Alamin”
Marilah rakan-rakan, adik-adik sekalian…renungilah diari kita sehari-hari….apakah cukup ibadah dan peranan yang kita lakukan demi agama, bangsa dan negara kita ? Apakah kita sudah menjadi anak-anak yang cukup berbakti dan membalas budi ibu bapa kita, lengkapkah tanggungjawab kita dalam membesar dan mendidik anak-anak kita, dan bagaimana hubungan kita dengan jiran serta rakan sekerja kita ?
Kalaupun kita berjaya melayari hidup dengan sempurna, ada harta yang banyak, karier yang mantap, anak-anak yang berjaya….tapi adakah kita menyumbang kepada masyarakat kita…bagaimana dengan masalah sosial dalam masyarakat…bukankah itu juga tanggungjawab kita ????
Maka perlulah kita untuk bertindak dari sekarang….saya dengan rasa rendah diri menyeru pada diri sendiri yang serba kekurangan ini, dan ingin mengajak rakan-rakan dan adik-adik semua agar kita meningkatkan prestasi ibadah kita sehari-hari…lipatgandakan usaha untuk memajukan diri sendiri, tingkatkan ilmu pengetahuan, jaga diri dan kesihatan dan berusaha serta bertawakkal dalam memikul amanah yang Allah berikan ini. Ganjaran yang tersedia amat hebat dan hanya layak diberi pada mereka yang ikhlas dan bersungguh-sungguh serta berserah pada Allah.
Cuba kita renung-renungkan, selama ini apa yang kita benar-benar hajati (yang mana kita sungguh-sungguh mengerjakannya)….hampir kesemuanya Allah makbulkan ?! Saya rasa hiba bilamana mengenangkan nikmat yang Allah berikan ini dibalas dengan alpa, malas dan lalai. Amat berdosanya rasa apabila ini balasan kita kepada yang Maha Pencipta. Begitu hinanya kita.
Ayuhlah kawan-kawan…lupakan sengketa sesama kita, bangkitlah dan mari kita berusaha memperbaiki diri dan melaksanakan tanggungjawab yang ada ini sebaik mungkin. Ingatlah bahawa doa adalah senjata orang mukmin yang tidak dimiliki oleh orang lain….seharusnya kita mesti lebih kuat dan lebih dihormati dan disegani, bukannya orang kafir, yahudi dan nasrani. Apakah kita hanya berdiam diri melihat saudara seagama kita diperkotak-katikkan, adakah kita hanya menonton di tv tanpa berbuat apa-apa melihat kesengsaraan saudara-saudara kita di Padang, Sumatera Barat, saudara seagama yang ditindas di Iraq, saudara yang di China ? Mungkin kita tidak mampu membantu secara langsung..tapi ada cara bagaimana kita boleh menyumbang dan menghulur bantuan. Kalau bukan kita, mungkin anak-anak kita nanti bakal jadi seorang yang hartawan yang sedia berkorban fisabilillah. Tanggungjawab siapa untuk mendidik mereka ke arah itu kalau bukan ibu bapa ?
Nimat yang ada ini hanya sementara….Allah hanya melihat apa tindakan yang kita lakukan…adakah kita masih terus leka atau terus insaf dan bangkit, fikir-fkirkan ini dan berdoalah agar negara dan rakyat kita terus dinaungi rahmat dan berkat. Marilah kita tunjukkan rasa bersyukur kita atas nikmat yang diberikan ini dengan memperbaiki serta melipatgandakan ibadah kita.
Wassalam.
-
Duka Aidilfitri
Posted on September 29th, 2009 No commentsSalam w.b.t. dan selamat sejahtera,
Di saat semua orang bergembira menyambut Syawal dengan penuh meriah, keluarga kami dikejutkan dengan berita MakCu jatuh sakit tiba-tiba. MakCu adalah panggilan mesra buat adik bongsu suami saya yang merupakan anak ke-12 dalam adik-beradik mereka. Walaupun saya hanyalah kakak ipar (walaupun umur kami sebaya) hubungan kami mesra dan akrab biarpun hanya berjumpa bila saya dan suami serta anak-anak bercuti balik kampung.
Bergegas kami bergerak menuju ke kampung di Kulai, Johor. Tepat jam 12:00 malam, kereta kami merangkak meninggalkan garaj rumah dengan hati kami tertanya-tanya derita apa yang ditanggung MakCu yang selama ini nampak sihat-sihat aja. Perkataan ‘harapan cuma 50-50′ yang diucapkan abang ipar saya ibarat gurauan yang tak dapat diterima akal….hati kami terus tertanya-tanya malang apa yang menimpa. Ingatan saya mula berputar mengingat semula detik terakhir pertemuan kami sekeluarga dengan MakCu sewaktu balik kampung menyambut 1 Ramadhan yang lalu. MakCu cergas seperti biasa tetapi agak pucat dan susut berat badan dan tak berapa banyak bercakap macam selalu.
Sehinggalah jam sekitar 1 pagi suami mendapat panggilan dari abangnya mengatakan MakCu sudah tiada….sewaktu takbir masih bergema masuk hari 2 Syawal, kami bertangisan dalam kereta bagaikan tidak percaya mendengar berita yang menyedihkan ini. Saya tidak pernah lihat suami menangis, dan itulah kali pertama saya melihat bagaimana dia menangis teresak-esak. Waktu itu bermacam-macam soalan menerjah pemikiran…siapalah yang akan menemankan mak mertua di kampung, sementelah MakCu adalah peneman setia mak bilamana anak-anak yang lain sudahpun bekeluarga dan sibuk dengan karier dan keluarga sendiri. MakCu lah sahabat mak, yang setia menemankan mak. Mengenangkan budi pekerti dan kebaikan MakCu, hati kecil saya terkadang berasa iri sebab saya bukan insan sebaik dan penyabar seperti MakCu…bayangkan bila semua adik beradik berkumpul di kampung dan masing-masing sibuk melayan kerenah anak masing-masing, MakCu lah yang bertungkus lumus di dapur menyediakan hidangan santapan untuk kami. Biarpun dia belum bekeluarga, hidup dan baktinya memang hanya untuk mak dan keluarganya, tidak untuk dirinya sendiri. Dari dulu saya memang menyanjungi sifat MakCu yang sangat merendah diri, tidak pernah marah atau meninggi suara dengan anak-anak buah, dan tidak pernah membantah cakap mak. Seingat saya setiap kali berada di kampung, MakCu sentiasa mencuri perhatian saya dengan kerajinan beliau membersihkan keliling rumah, menyapu, memasak, mengemas, ke kedai membeli barang keperluan…..memang kaki seluar yang dipakai MakCu tidak pernah kering. MakCu memang tak pandai duduk diam…ada aje yang dibuatnya. Saya akui, antara saya dengan beliau, bagai langit dengan bumi. Saya memang sayangkan Mak Cu.
Pada 2 Syawal keesokan harinya, saya berkesempatan ke Hospital Sultanah Aminah, JB untuk melihat MakCu. Sebaik mendapat khabar yang pihak Hospital Sultanah Aminah, JB berjaya ‘mengembalikan’ semula degupan jantung Mak Cu sebaik dikejarkan ambulan dari Hospital Kulai, saya beroleh semangat dan bersungguh-sungguh berdoa agar MakCu cekal melawan penyakitnya. Tetapi Tuhan lebih menyayanginya apabila pada tengahari itu MakCu sekali lagi meninggalkan kami dan pergi buat selama-lamanya. Doktor telah cuba sedaya-upaya menyelamatkan MakCu tetapi keadaan paru-parunya yang teruk dijangkiti tidak dapat diubati lagi. Pergilah insan paling disayangi semua ahli keluarga, perginya secara tiba-tiba begitu memeranjatkan kami semua dan yang paling sedih adalah mak mertua saya.
Walaupun kini sudah seminggu Syawal berlalu kesedihan dalam keluarga suami dan diri saya sendiri masih begitu terasa. Tiada apa yang dapat dikesalkan walaupun pada hakikatnya penyakit jangkitan paru-paru yang ditanggung MakCu adalah jangkitan biasa yang boleh disembuhkan dengan rawatan antibiotik saja (bukan H1N1 seperti disahkan doktor). Ini semua adalah takdir yang harus kami semua terima dengan berlapang dada dan redha hati.
Dalam pada kita meniti hari-hari yang seterusnya dengan segala macam tanggungjawab dan peranan yang dipikul, seperkara yang saya belajar dari apa yang telah berlaku ini adalah betapa kita mesti berhenti sebentar dan menghayati dan menghargai insan-insan malah apa jua yang berada di sekeliling kita. Dan yang paling penting adalah menghargai dan menyayangi diri kita sendiri. Betapa kita harus peka dan perihatin dengan keadaan kesihatan diri dan insan-insan tersayang di sekeliling kita : ibu bapa, anak-anak, jiran tetangga dan saudara mara. Seperti diwar-warkan di tv, jangan sesekali mengambil mudah apabila demam…sebab demam adalah amaran semulajadi yang dihasilkan oleh badan untuk memberitahu ada sesuatu yang tidak kena dengan badan kita.
Akhir sekali, al-Fatihah buat Sharifah binti Zakaria, semoga roh beliau dicucuri rahmat olehNya. Segala kenangan bersama arwah, gelak ketawa dan ramah tamahnya, serta budi baiknya akan saya kenang sampai bila-bila. Puisi ini hasil ilham saya yang tidak seberapa :
Mati itu Pasti
Mati itu pasti,
kembali padaNya suatu yang hakiki,
cara, bila dan bagaimana kita mati,
mungkin berbeza, bukan pilihan sendiri,
marilah kita teliti,
dengan mata hati,
panjangkan doa buat yang telah pergi,
usah ratapi dan kesali,
lepaskan ‘dia’ dengan redha dan rela hati,
jangan dilupai,
pupuklah cinta dalam hati,
hargailah dan sayangi,
mreka yang masih di sisi,
sementara waktu yang berbaki ini,
masih kita miliki…
-
Susah Senang Menjernihkan Hati
Posted on June 25th, 2009 3 commentsSalam dan selamat sejahtera,
Entah kenapa hati saya semacam geram dan tidak puas hati, rasa nak buat satu surat aduan kepada pihak kerajaan kenapa perkara semacam ini mesti terjadi…
Saya baru je diberitahu oleh suami yang dia akan berkursus selama satu minggu di Genting Highlands.
“Satu minggu ?! Lamanya ! Bila nak kena pergi ?”.
“Hari Ahad ni..pagi nak bertolak”.
“Ahad ? Sepatutnya hari Sabtu dan Ahad kena spend time dengan keluarga. Drive sendiri atau ada pengangkutan disediakan?”.
“Drive sendiri…”
Tiba-tiba rasa bengang yang meluap-luap datang (tambah-tambah pulak masa dapat berita saya baru pulang dari kerja dan menempuh traffic jam yang begitu mencabar). Ishh…bengang, bengang.
Sebenarnya saya terkilan kenapa kakitangan kerajaan harus pergi berkursus jauh-jauh dan mengambil masa 4, 5 dan sampai seminggu….saya yang kerja swasta tak pulak sibuk-sibuk nak berkursus jauh-jauh, paling jauh pun nun kat Bangi, dan paling lama pun 3 hari.
Akhirnya selepas berfikir masak-masak…tak guna saya nak marah. Kalau nak marah pada suami, apa pilihan yang dia ada. Memang anak-anak selalu demam bilamana suami saya outstation dan itulah yang meresahkan saya…tapi apa pilihan yang saya ada ?
Maka saya fikir, apa yang saya harus lakukan adalah menjernihkan hati sendiri. Bagi diri saya sendiri yang cepat melenting, ini adalah ujian dariNya. Berperang dan cuba memotivasikan diri, menahan diri dan bersabar….itulah sebahagian dari ujian. Mungkin juga ada perkataan yang terlepas ketika marah dan mungkin saya dah melukakan hati suami saya….ntahlah, tiba-tiba saya rasa bersalah pulak. Terasa rugi pula bila terlalu mengikut emosi.
InsyaAllah…lepas ni saya tak naklah marah lagi…nak mesra dengan suami semula macam biasa. Daripada marah, baiklah tenaga marah tu ditukar kepada tenaga kinetik yang boleh mendorong saya membuat kerja berfaedah…kan. Yang penting, saya doakan suami pergi dan pulang dengan selamat dan dapat menimba pengetahuan sebaik mungkin dari kursus tersebut. Amin.
Selamat !
-
Ibubapa Yang Bersalah
Posted on May 19th, 2009 No commentsSalam dan selamat sejahtera,
Pagi tadi bila nak bersiap-siap ke pejabat, anak-anak lelaki saya yang bersekolah dah siap dulu. Dah siap minum pagi dan pakai kasut, terus Adly minta kunci kereta dan tolong hidupkan enjn kereta. Biasanya dia berebut dengan si abang, Ahmad tapi pagi tadi Ahmad okay-okay ajer bila Adly yang dulu dapatkan kunci kereta. Lepas tu mereka berdua duduklah dalam kereta menunggu saya. Yang saya pulak ntah kenapa tembel plak rasanya hari ni……sian pulak budak-budak tu lama menunggu.
Maka kalau selalunya hati saya ‘mengkal’ pagi-pagi bila mengadap kerenah mereka berdua yang lambat, malas-malas, hangin nak pergi sekolah, pagi ni saya pulak yang rasa macam bersalah. Sebagai menunjukkan kekesalan atas kelambatan diri sendiri, saya minta maaf dengan Ahmad dan Adly. Pagi ni dapat peluk cium extra lagi…sebelum mereka melangkah keluar dari perut kereta untuk ke sekolah.
Sepanjang perjalanan memandu hingga sampai ke pejabat dan hinggalah saya menghadap komputer ini, hati saya terkesima (betul ke penggunaan nahu ni?) dan perasaan bersalah makin bersarang. Semakin dalam difikirkan, semakin banyak pulak kesalahan dan kekurangan pada diri saya sebagai ibu.
Sebagai ibubapa atau bakal menjadi ibubapa, apa pilihan anda agak-agaknya ? Isteri berhenti kerja dan jaga anak-anak ? Suami yang berpendapatan lebih rendah dari isteri yang berhenti kerja dan mengasuh anak-anak ? Ambil pembantu rumah dan bayar gajinya untuk mengasuh anak-anak ?
Perempuan zaman sekarang rata-rata berpelajaran tinggi….ibu ayah yang dah bersusah payah menyekolahkan anak perempuan mereka tentu mahu melihat anak perempuan mereka bekerjaya dan boleh menanggung mereka dan tidak hanya bergantung harap dengan suami semata-mata. Maka sekarang ni ramailah anak-anak yang diasuh oleh orang lain samada babysitter atau pembantu rumah. Agak sedih kan ?
Jika dibandingkan ibubapa zaman dulu dengan zaman sekarang, pada saya ibubapa sekarang lebih cenderung untuk melakukan banyak kesilapan berbanding ibubapa kita. Ironinya, disebabkan inilah juga ibubapa jadi pelupa (bila mereka dah rasa bersalah) dan terlalu memanjakan anak sampai mereka jadi ’spoiled’. Sedih kan.
Maka inilah perjuangan kita sebagai ibubapa moden. Inilah medan yang Allah S.W.T beri untuk menguji kita samada kita mampu atau tidak untuk membentuk generasi selepas kita ini sebagai satu generasi yang ampuh dan kukuh dari segi agama, moral dan akhlaknya. Memang kita banyak melakukan kesilapan tetapi kita tidak boleh berhenti dan berkata ‘oh, apa saya boleh buat…zaman dah berubah’. Marilah kita sama-sama bermuhasabah dan berusaha untuk memperbaiki diri kita setiap masa. Selamat !
-
Adakah Kita Role Model Anak-anak kita ?
Posted on December 23rd, 2008 1 commentBagi anda yang mempunyai anak, agak2 siapa role model kepada anak2 anda ? Role Model ini ibarat idola kepada anak2, seseorang yang mereka suka tengok, suka ikut cara, tertib, tingkahlaku, perbuatan, percakapan dan apa2 yg bersangkutan dengan idola mereka. Kalau tanya anak2 saya yg berumur 8 tahun dan 6 tahun, nama yg keluar dari mulut mereka ialah Ultraman, Bidaman, Power Rangers… kalau kita sebut role model atau idola mungkin mereka tak faham konsep, tapi sebenarnya bila mereka sebut2 nama karakter2 tersebut, itulah idola mereka, itulah igauan mereka. Huuu, masalah tu..
Saya sekarang sedang pening memikirkan bagaimana nak hapuskan Ultraman, Bidaman, Godemon..ntah hapa2 Mon lagi..dari ingatan mereka. Pada saya, tv lah punca segala2nya. Walau tegas macamana pun suami saya dalam cuba membendung aktiviti menonton tv di rumah, mereka masih dapat ‘bolos’. Mungkin sebab kurang ‘enforcement’, maklumlah saya dan suami bekerja, nak harapkan Wan mereka, dengan Wan dia sekali layannn.. (layan cerita indon lagik..).
Prestasi anak saya yang sulung dalam exam yang lepas begitu merundum…sebagaimana merundumnya ekonomi US. Sampai kena tukar kelas (geramnya mak). Jadi saya ingin mencuba satu kaedah, setelah berbincang dengan sang suami…bagaimana nak membakar semangat anak2 untuk belajar dan untuk menjadi Role Model kepada anak2. Caranya ?
Kenalah saya atau suami saya sambung belajar..atau jadi pelajar contoh di rumah…pada masa yang sama kuatkuasakan enforcement iaitu undang2 di rumah dengan lebih berkesan. Itu kaedah yang terbaik yang kami fikirkan. Macam ‘trial and error’ la juga. Kalau anak2 tak pandai jugak…hmmm, mak bapak dialah yang pandai jawabnya..heeee.
Apa2 hal pun, saya akan kongsi perkembangan dan samada kaedah yang saya rancangkan itu berkesan atau tidak. Selamat !




















Recent Comments